PCS, LDP mungkin senasib SAPP, kata penganalisis

Penganalisis berkata, Parti Cinta Sabah dan Parti Liberal Demokrat berkemungkinan menjadi seperti SAPP yang gagal memenangi sebarang kerusi kerana enggan bekerjasama dengan pihak lain selepas keluar BN pada 2008.

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) mungkin akan berakhir seperti SAPP jika mereka kekal dengan pendirian untuk bergerak sendirian pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Lee Kuok Tiung dari Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, tindakan 2 parti itu juga dijangka memecahkan undi parti yang menentang Warisan dan sekutunya.

“Saya khuatir mereka akan mengalami nasib sama seperti SAPP sebelum ini jika bergerak sendirian.

“Sasaran mereka untuk berjaya pada PRN nanti agak sukar kerana hanya dengan bersatu (dalam kalangan parti pembangkang di Sabah) barulah mereka dapat memberi impak kepada politik di Sabah,” katanya kepada FMT.

Lee Kuok Tiung

SAPP yang dipimpin Yong Teck Lee sebelum ini adalah salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi bertindak keluar daripada gabungan itu pada 2008.

Parti itu kemudian memutuskan untuk bergerak sendirian pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), namun gagal mendapat kemenangan majoriti bagi menubuhkan kerajaan.

Pada PRU14 barulah SAPP membuka jalan kerjasama dengan beberapa parti pembangkang di Sabah, namun penyertaan mereka dalam pilihan raya itu gagal mendapat sebarang kerusi.

Baru-baru ini Presiden PCS Anifah Aman berkata, parti itu tidak akan bekerjasama atau berpakat dengan parti lain, terutama dari Semenanjung.

Beliau juga berkata, parti itu akan bertanding di banyak kerusi bagi membuka peluang untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Sebagai presiden PCS, saya ingin mengulang dan menegaskan sekali lagi dasar perjuangan PCS untuk pilihan raya Sabah akan datang.

“Kami (PCS) akan bertanding di banyak kerusi dan tidak akan berpakat atau bergabung dengan mana-mana parti, terutama parti dari Tanah Melayu untuk tujuan pilihan raya negeri ini.

“Tiada perbincangan atau tolak ansur mengenai perkara ini seperti dilaporkan di media tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, LDP turut senada dengan PCS yang menolak kerjasama dengan parti lain, terutama BN walaupun sebelum itu, Pengerusi BN Ahmadd Zahid Hamidi memberitahu bahawa mereka sedang berunding mengenai pembahagian kerusi dengan parti pembangkang di Sabah, termasuk PCS dan LDP.

Setiausaha Agung LDP Yong Wui Chung bagaimanapun menafikan laporan media yang mengaitkan parti itu dengan BN.

Katanya, LDP tidak pernah sama sekali berhubung dengan Zahid atau pemimpin lain parti itu untuk membincangkan soal penggabungan parti pembangkang di Sabah.

“LDP sendiri juga tidak akan menyertai mana-mana gabungan pembangkang di Sabah kerana parti ini menjadi sebuah parti bebas selepas meninggalkan BN pada 11 Mei 2018.

“Sejak PRU14, LDP tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana parti, kami membuat keputusan untuk berjuang sendirian dengan berpandukan kepada aspirasi rakyat,” katanya.