Petani kopi manfaatkan digital, bantu penduduk jana pendapatan

Hanteh Ginsos memanfaatkan teknologi untuk menjual biji kopi.

PETALING JAYA: Beberapa ratus kaki dari aras laut di Sabah dan terletak di sebelah Gunung Kinabalu yang menjadi kemegahan di Kampung Kiau Nuluh, di mana sebahagian besar penduduk kampung pernah menanam biji kopi arabika.

Bagaimanapun, mereka mendapati sukar menjualnya dan penduduk mengabaikan kebun mereka untuk mencari pekerjaan lain dalam perniagaan pelancongan tempatan, seperti menjadi pemandu arah gunung.

Namun, tidak bagi seorang petani yang terus bertahan menjaga kebun biji kopi. Tahun demi tahun, anaknya Hanteh Ginsos melihat potensi besar dalam penanaman biji kopi itu apabila menyedari ia memiliki permintaan di pasaran.

Pada September 2019, beliau memulakan bisnes eko-pelancongan, membawa pelancong melalui proses pertanian kopi tradisional di mana seseorang dapat menyaksikan sendiri dan merasai pengalaman dari ladang terus ke cawan.

Ketika perniagaannya tertumpu pada aspek eko-pelancongan, semua itu terhenti berikutan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bukan hanya perniagaan Hanteh yang terjejas, seluruh penduduk kampung hilang pekerjaan kerana sekitar 90% daripada mereka bergantung kepada sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan.

Dengan sisa biji kopi yang dibuat demonstrasi kepada pelancong dan tidak banyak yang boleh dilakukan, beliau memutuskan untuk mencuba menjual biji kopi.

Pesanan untuk Kopi Kinabalu datang dari pelanggan di Filipina, Indonesia, dan Australia.

Beberapa minggu kemudian, Hanteh diperkenalkan oleh mentornya kepada Yezza, sebuah alat pesanan WhatsApp automatik yang kemudian dihubungkan dengan EasyParcel, penyedia perkhidmatan kurier dalam talian.

Beliau menggunakan modus operandi dengan membawa biji kopi dari kampung ke Kota Kinabalu di mana tempat beliau berada dan menguruskan pesanan pelanggan, baik melalui telefon pintar atau komputer riba.

“Sepanjang seminggu, saya akan ambil pesanan, dan kalau kehabisan stok, saya akan balik ke kampung untuk mengambil lebih banyak biji kopi.”

Platform itu memudahkan komunikasi bersama pelanggan dengan memberikan semua maklumat yang mereka perlukan.

Sementara itu, kerjasama bersama EasyParcel bermaksud dia tidak lagi perlu ke pejabat pos untuk mengirim produknya kerana penyedia perkhidmatan kurier akan datang kepadanya mengutip produk itu.

“Saya hanya mahu mencuba dan melihat bagaimana keadaannya, tetapi saya tidak jangka yang orang akan sangat menyukainya.

“Tak sampai 2 bulan, kami berjaya menjual semua biji kopi yang ada dalam stok. Malah sekarang, saya masih mendapat pertanyaan mengenai stok yang masih tinggal.”

Dengan bantuan platform digital, Hanteh berjaya menghantar biji kopi itu ke Semenanjung dan Pulau Pinang.

Permintaan tidak terhenti di situ, malah beliau menerima pesanan Mount Kinabalu Coffee dari pelanggan di Filipina, Indonesia, dan Australia.

Beliau juga merancang untuk melancarkan laman web jenama itu sendiri pada masa akan datang. Dengan kaedah itu, ia lebih mudah untuk mempamerkan produk tersebut kepada pelanggan yang kemudian dapat membeli biji kopi dengan segera.

“Kita perlu hentikan (penghantaran ke luar negara) buat masa ini tetapi pada masa akan datang, saya rasa pasti boleh buat.”

Menyaksikan sendiri potensi biji kopi itu, beliau mula mempromosikan ideanya dan menggalakkan keluarga lain di kampungnya untuk memulakan penanaman biji itu.

“Di Malaysia, kita masih banyak bergantung pada kopi yang diimport untuk biji arabika. Sebenarnya sukar untuk menanam kopi jenis ini sebab ia hanya tumbuh pada ketinggian tertentu dari aras laut.

“Tetapi kampung kami adalah persekitaran yang sempurna. Oleh itu, saya mula menceburi pasaran kopi ini,” katanya.

Kini, dia mempunyai 15 keluarga lain yang menanam biji kopi, dengan kapasiti pengeluaran perniagaan berpotensi tumbuh dari 1 tan biji setiap tahun menjadi 10 tan dalam masa 3 tahun.

Selain itu, menjadi harapan beliau untuk menggalakkan 15 keluarga lain untuk turut serta.

Hanteh berkata, beliau juga dihubungi oleh penduduk yang tinggal di kampung lain di sekitar Gunung Kinabalu yang turut berminat untuk menceburkan diri dalam perniagaan. Beliau dengan senang hati berkongsi bagaimana untuk memulakannya.

Ketika penduduk kampung perlu menunggu 2 hingga 4 tahun sebelum pokok itu menghasilkan buah kopi, beliau juga menawarkan jaminan pembelian semula jika mereka tidak boleh menjual bijinya.

“Secara tak langsung, saya rasa PKP adalah suatu hikmah kerana saya mula belajar tentang pemasaran digital, e-dagang, dan saya betul-betul memanfaatkannya. Ia adalah salah 1 perkara terbaik yang pernah terjadi pada saya sewaktu PKP.

“Matlamat utama adalah untuk membantu penduduk kampung memperoleh pendapatan yang kekal dalam jangka masa panjang. Kalau saya tak buat, mungkin suatu hari nanti ada orang lain yang akan buat, tetapi sebab saya mampu buat, mengapa tidak?

“Saya bukanlah menganggap ini sebagai kisah kejayaan, tetapi saya rasa ia adalah perkara yang tepat untuk dilakukan kepada penduduk dan komuniti,” katanya.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata, pelbagai program bawah gerakan #SayaDigital yang dilancarkan baru-baru ini memberikan kaedah kepada orang seperti Hanteh untuk melakukan anjakan digital dan menjalani normal baharu dengan jayanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri.

“Digitalisasi tak boleh tunggu lama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri.

“Memacu kecekapan digital memastikan semua orang dapat memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital yang wujud dalam Revolusi Industri ke-4 yang semakin berkembang pesat.”

Surina berkata, pelbagai program MDEC seperti PeDAS, eUsahawan, eRezeki, 100 Go Digital, Go-eCommerce, dan eBerkat antara lain direka untuk membantu mengembangkan digitalisasi untuk perniagaan Malaysia.

Gerakan #SayaDigital, katanya, akan menyaksikan MDEC terlibat dengan pelbagai pemegang taruh daripada usahawan mikro, PKS, pekerja gig, perniagaan dan pelajar untuk memberi kesedaran yang lebih besar mengenai program itu.

“Peruntukan dari Prihatin dan Penjana adalah petanda yang amat jelas bahawa kerajaan percaya ekonomi digital adalah salah 1 enjin utama untuk pemulihan ekonomi Malaysia, sebuah visi yang kita semua di MDEC amat prihatin.”

Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai inisiatif bawah gerakan #SayaDigital, lawati www.mdec.my/sayadigital atau https://www.smedigitalsummit.com/.