PKPP lanjut 31 Dis, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilanjutkan hingga 31 Disember depan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sejak 10 Julai lalu akan disambung hingga 31 Disember depan.

Muhyiddin berkata, PKPP itu akan berkuatkuasa Selasa depan, selepas PKPP fasa pertama tamat 31 Ogos ini.

“Demi kepentingan saudara-saudari sekalian, kerajaan memutuskan perintah kawalan pergerakan pemulihan dilanjutkan hingga 31 Disember 2020.

“Dengan pelanjutan tempoh PKPP, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas malam ini.

Muhyiddin turut menegaskan, tidak ada individu dikecualikan daripada peraturan itu dan bagi mereka yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal.

“Saya juga menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan yang berkaitan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali ganda dari kadar sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu perlu diperhalusi dan Akta 342 perlu dipinda terlebih dahulu.

Muhyiddin berkata, memandangkan pelitup muka kini merupakan barangan keperluan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang berunding dengan pengilang dan pembekal untuk menurunkan lagi harganya.

“Jika rundingan ini berhasil, harga pelitup muka akan lebih berpatutan dan ini akan meringankan sedikit beban saudara-saudari sekalian,” katanya.

Katanya, ketika ini kebanyakan sektor sudah dibenarkan beroperasi, kecuali sebilangan kecil yang masih tidak dibenarkan seperti kelab malam dan pusat hiburan, bahkan turut menetapkan kemasukan pelancong asing masih tidak dibenarkan ke dalam negara.

“Selaras pelanjutan tempoh PKPP, Tabung Covid-19 yang diurus oleh Nadma ( Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga akan dilanjutkan hingga 31 Disember 2020. Sehubungan itu, pihak yang ingin menyumbang kepada tabung ini bolehlah berbuat demikian,” katanya.