PM tak berani beritahu Khairuddin letak jawatan, kata Kit Siang

Muhyiddin Yassin berkata tindakan akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan tetapi tidak menyentuh mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali.

PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang membidas Muhyiddin Yassin kerana tidak berani memberitahu menteri dalam pentadbirannya supaya meletakkan jawatan terhadap kesalahan melanggar perintah kuarantin wajib.

Beliau berkata, perdana menteri memberi nasihat kepada rakyat supaya bertanggungjawab dan berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Namun, ia adalah “nasihat hipokrit” berdasarkan apa dilakukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali.

Muhyiddin memberi nasihat itu ketika mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga 31 Disember ini.

Dalam kenyataannya, Lim mengkritik Muhyiddin kerana gagal meminta Khairuddin berundur dan berkata rakyat kecewa kerana nasihat perdana menteri supaya mematuhi peraturan “tidak sampai kepada menterinya”.

Khairuddin diserang hebat berikutan tindakannya gagal menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki pada Julai lalu dengan ada pihak menggesanya meletak jawatan.

Kementerian Kesihatan mengenakan kompaun RM1,000 terhadapnya dan polis membuka kertas siasatan selepas 27 laporan dibuat terhadap menteri itu.

Hari ini Khairuddin menegaskan tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan susulan isu melanggar arahan kuarantin wajib yang dihadapinya berikutan ia bukan membabitkan salah laku kerja.