Polis rakam keterangan menteri tak kuarantin, saksi

Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali dan beberapa saksi berhubung kegagalan menteri itu mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada Julai.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, berkata keterangan Khairuddin diambil pada 8.30 malam semalam di Bukit Aman bersama beberapa saksi lain.

Menurutnya proses berkenaan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ) Bukit Aman selesai kira-kira 11.30 malam semalam.

“Kita sudah merakam percakapan beliau dan beberapa saksi lain. Jika perlu kita akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata setakat ini pihaknya menerima 27 laporan polis dari seluruh negara berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata isu ahli Parlimen Kuala Nerus itu diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos atas kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.