PPBM tak layak jadi pakatan Melayu Islam, ahli Umno perlu undur dari Kabinet, kata Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan demi menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

PETALING JAYA: Keputusan PPBM untuk menerima bukan Melayu menjadi ahli parti secara sendirinya tidak layak lagi menjadi anggota pakatan Melayu Islam yang disokong Muafakat Nasional (MN), kata ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya memberi sokongan dari awal penubuhan kerajaan demi menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

“Dengan berlakunya perubahan diumumkan PPBM, wajar ahli Umno yang menganggotai Kabinet kerajaan sekarang berundur daripada melibatkan diri dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Presiden PPBM Muhyiddin Yassin memberitahu, parti itu sedia meminda perlembagaan bagi membolehkan ahli bukan Melayu memegang jawatan dalam parti itu.

Beliau berkata, 1 jawatankuasa akan dibentuk bagi membincangkan perkara itu, diketuai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Rais Yatim sebelum ia dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti.

PPBM hanya membuka keahlian kepada bukan Melayu sebagai ahli bersekutu dan tidak boleh memegang jawatan dalam parti ketika ini.

Tengku Razaleigh berkata, anggota Kabinet dari Umno perlu mengundur diri secepat mungkin supaya Umno tidak membuang masa, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah lebih besar seperti kedudukan orang muda yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Perkara sebesar ini sepatutnya dibawa ke perhimpunan agung parti tidak lama lagi,” katanya.

Majlis Kerja Tertinggi Umno menetapkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama 2 hari bermula 27 November depan.