Sultan Selangor mahu Rukun Negara diperkasa, bina negara bangsa disegani

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu 5 prinsip Rukun Negara bukan sahaja dihafal tetapi terus dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan rakyat negara ini. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu 5 prinsip Rukun Negara yang digubal pada 1970 diperkasakan semula ke arah membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini, Sultan Sharafuddin berpandangan kurangnya penekanan terhadap Rukun Negara sejak 80-an sehingga sekarang menyebabkan masih ada rakyat tidak mengamalkan asas yang didukung menerusi prinsip itu.

Sultan Sharafuddin turut berpandangan masih kurang penghargaan dan apresiasi terhadap prinsip Rukun Negara diterapkan dalam agenda perpaduan nasional.

“Ia berpunca daripada kelemahan segelintir rakyat dalam mendukung keluhuran Perlembagaan persekutuan menerusi setiap tindakan serta kegagalan menghormati kedaulatan institusi raja di negara ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Justeru, Sultan Sharafuddin mahu 5 prinsip Rukun Negara itu bukan sahaja dihafal tetapi terus dihayati, diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, Istana Alam Shah menyatakan Sultan Sharafuddin gembira dan sukacita melihat perkembangan semasa apabila ada usaha serius untuk menerapkan prinsip Rukun Negara ke arah memperteguh keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin percaya, sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, keteguhan perpaduan sedia ada mampu diperkukuhkan lagi sekiranya setiap rakyat memahami dengan sepenuh hati tentang sejarah dan perjuangan bangsa, terutamanya prinsip yang digariskan dalam Rukun Negara.

Pada masa sama, Sultan Selangor menyeru rakyat supaya mengambil teladan daripada kaedah penghayatan dan pemahaman rakyat Indonesia terhadap prinsip nasional mereka menerusi ‘Pancasila’ yang diamalkan secara serius dan terbukti berkesan dalam memupuk semangat patriotisme.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-63 kepada seluruh rakyat.