Tak perlu letak jawatan, bukan salah laku kerja, kata Khairuddin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali berkata dalam keterangannya kepada polis beliau turut memaklumkan kunjungannya ke Turki adalah lawatan rasmi untuk membincangkan isu antaranya eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu selain projek membabitkan kerajaan Terengganu.

TANJUNG MALIM: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan tiada keperluan untuk beliau meletak jawatan susulan isu melanggar arahan kuarantin wajib yang dihadapinya ketika ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau tidak akan melayan desakan segelintir pihak supaya berundur daripada Kabinet memandangkan isu dihadapinya bukan melibatkan salah laku kerja.

“Saya tidak buat salah yang melibatkan kerja saya, tapi kekhilafan dalam isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan saya serahkannya kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas program Jom Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MPSO) di pekan Slim River hari ini.

Khairuddin berdepan kritikan ramai malah terdapat desakan beliau meletakkan jawatan kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki, Julai lepas.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata Bukit Aman sudah membuka kertas siasatan terhadap menteri berkenaan dan sebanyak 27 laporan polis diterima berhubung perkara itu dari seluruh negara setakat ini.

Mengulas lanjut, Khairuddin mengesahkan beliau bersama 3 ahli keluarga yang lain hadir ke Bukit Aman semalam untuk memberi keterangan selama 2 jam bermula 8.45 malam berhubung isu berkenaan.

“Semalam saya ke Bukit Aman, itu kali pertama beri keterangan, bukan 2 kali seperti dilaporkan sesetengah media. Saya memberi keterangan sebagai saksi berhubung isu dibangkitkan sekarang,” katanya.

Khairuddin berkata, dalam keterangannya kepada polis beliau turut memaklumkan kunjungannya ke Turki adalah lawatan rasmi untuk membincangkan beberapa isu antaranya berkaitan eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu selain projek membabitkan kerajaan Terengganu.

“Saya telah memohon maaf atas kekhilafan saya dan telah pulangkan gaji untuk Mei hingga Ogos untuk rakyat, untuk Tabung Covid-19,” katanya sambil menambah perkara itu tidak menjejaskan tumpuan kerjanya.