Trump terima pencalonan semula Parti Republikan, kecam Biden

Donald Trump pada Khamis secara rasmi menerima pencalonan semula partinya sebagai calon presiden. (Gambar AP)

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Khamis secara rasmi menerima pencalonan semula partinya sebagai calon presiden dan berikrar menjadikan Amerika Syarikat (AS) lebih gemilang bagi tempoh tambahan 4 tahun lagi perkhidmatannya, lapor Agensi Anadolu.

Berucap pada Konvensyen Kebangsaan Republikan dari Rumah Putih, Trump berkata penggal baharu akan membolehkannya “membangunkan semula ekonomi terhebat dalam sejarah” sambil mengatakan calon Demokrat Joe Biden membahayakan “kehebatan” AS.

“Kita tahu Amerika bukan negara yang diselubungi kegelapan. Amerika adalah obor yang menerangi seluruh dunia,” kata Trump.

“Namun, di sebalik semua kehebatan kita sebagai sebuah negara, semua yang telah kita capai kini berada dalam bahaya. Ini adalah pilihan raya terpenting dalam sejarah negara kita,” katanya.

“Pilihan raya kali ini akan memutuskan sama ada kita menyelamatkan impian Amerika, atau membiarkan agenda sosialis memusnahkan impian yang amat kita hargai itu,” tambah Trump.

Trump berdepan persaingan sengit untuk mencabar Biden dengan hanya tinggal 2 bulan lagi sebelum pilihan raya presiden yang dijadual diadakan pada 3 November.

Tinjauan pendapat Hill-HarrisX yang dikeluarkan pada Rabu mendapati Trump mengalahkan bekas naib presiden itu dengan 9 mata, margin sama dalam tinjauan Economist/YouGov yang diterbitkan pada hari sama.