Wan Zulkiflee pengerusi baharu DRB-Hicom

Wan Zulkiflee Wan Ariffin pengerusi baharu DRB-Hicom berkuat kuasa 1 September

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd melantik Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai pengerusi, berkuat kuasa 1 September ini.

DRB-Hicom dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Zulkiflee akan menggantikan pengerusi sekarang iaitu Mohammad Zainal Shaari, yang akan meletakkan jawatan pada 31 Ogos ini disebabkan komitmennya terhadap perniagaan lain.

Sehingga kini, Zulkiflee merupakan pengarah bebas kumpulan sejak 1 Ogos lalu.

Sebelum itu, beliau merupakan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petronas.

Beliau juga menjawat jawatan pengerusi kumpulan bukan eksekutif Malaysia Airlines Bhd dan Malaysia Aviation Group Bhd.