28 direman, 51 didenda ingkar PKPP

Ismail Sabri Yaakob berkata, polis menahan 17 individu kerana tidak memakai pelitup muka semalam.

PETALING JAYA: Polis menahan 79 individu yang mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan, termasuk 22 orang yang menghadiri parti peribadi, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 28 individu itu direman, manakala 51 lagi dikompaun kerana terbabit aktiviti dalam pub/kelab malam (11), gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), premis beroperasi lebih masa (1) serta aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (10).

Katanya, tiada individu sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah yang melanggar SOP, hasil daripada 459 pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa.

Seramai 19,218 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam, ditempatkan di 70 hotel dan 5 institut latihan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah serta Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,464 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, seramai 10,698 individu sudah dibenarkan pulang selepas selesai menjalani kuarantin wajib.

Katanya, individu itu pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, tiada tangkapan daripada 64 sekatan jalan yang diadakan di seluruh negara semalam bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin, khasnya di lorong tikus.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan, khasnya di lorong tikus.