BN menang PRK Slim dengan majoriti 5 kali ganda daripada PRU14

Mohd Zaidi Aziz meraikan kemenangannya dalam PRK Slim bersama pemimpin BN dan PAS di Majlis Daerah Tanjung Malim malam ini.

TANJUNG MALIM: Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam pilihan raya kecil hari ini dengan majoriti 5 kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

BN yang diwakili Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, menewaskan 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.

Pegawai Pengurus PRK Slim, Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan Amir Khusyairi yang mewakili kumpulan Dr Mahathir Mohamad hanya memperoleh 2,115 undi, manakala Santharasekaran meraih 276 undi yang menyebabkan beliau hilang depositnya.

Pengumuman itu dibuat di pusat penjumlahan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Sebanyak 327 kertas undi ditolak daripada semua 56 saluran peti undi pada PRK Slim.

Peratusan keluar mengundi hari ini ialah 68.4% daripada 23,094 pemilih berdaftar di DUN Slim.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menang di semua 13 pusat mengundi, termasuk undi pos, perbezaan besar berbanding PRU 2018 di mana ia kalah di 6 pusat mengundi.

Katanya, ia jelas rakyat memilih kepimpinan BN dan gabungan itu akan cuba sebaik mungkin pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan serta PRU15.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menjadi Adun Slim sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim ialah PRK ke-2 yang diadakan dalam normal baru susulan penularan Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.