Dengan kes Covid-19 terkawal, badan pemikir persoal langkah lanjut PKPP

Sebuah badan pemikir berkata, penutupan berterusan sempadan Malaysia akan memberi kesan lebih besar ke atas ekonomi negara.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menyuarakan kebimbangan berhubung langkah kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga akhir tahun, dengan berkata ia tidak wajar.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, angka yang ada menjelaskan keadaan sebenar di Malaysia dan ia tidak menyokong lanjutan tempoh sekatan.

“Pertama, angka jangkitan Covid-19 Malaysia terkawal. Dalam tempoh 2 bulan ini, angka purata harian kes Covid-19 secara konstan adalah di bawah 15 kes, sementara angka purata kematian harian berada di bawah 0.14 kes dan tidak pernah melepasi angka 0 sejak 7 Ogos,” katanya.

“Ini bermakna tiada peningkatan mendadak yang dicatatkan dan rakyat tidak terkorban,” kata pengerusi CME Carmelo Ferlito dalam satu kenyataan.

Carmelo Ferlito

Beliau mengakui usaha pihak berkuasa kesihatan negara mengawal ancaman wabak tersebut.

CME yang merupakan inisiatif akademik dan pendidikan di bawah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) bagaimanapun mempersoalkan kewujudan “super-spreader” virus berkenaan seperti disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam taklimat harian beliau berhubung Covid-19.

“Kewujudan ‘super-spreader’ ini tidak disokong oleh angka Covid-19 di Malaysia dan ditolak oleh saintis di Singapura,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan pelanjutan tempoh PKPP sehingga 31 Disember tahun ini. Ini bermakna pintu sempadan akan terus ditutup dan perintah kuarantin dikenakan ke atas individu yang memasuki Malaysia.

CME berkata, kesan ekonomi pelanjutan tempoh PKPP akan memberi implikasi lebih besar ke atas rakyat.

“Kesan penutupan sempadan negara ke atas ekonomi dan rakyat adalah jauh lebih besar.

“Dengan tamatnya moratorium ke atas pinjaman dan subsidi upah, selain berakhirnya kesan lonjakan biasa berikutan langkah pembukaan semula ekonomi, pengecutan ekonomi pada suku ke-4 2020 besar kemungkinan akan berlaku dan akan menyebabkan peningkatan pengangguran sekali lagi,” kata Ferlito.

Beliau menggesa kerajaan supaya melaksanakan dasar yang mengambil kira analisis tepat mengenai buruk-baik yang mungkin berlaku.

“Manfaat langkah tertentu penting, tetapi potensi kesan negatifnya juga penting. Dua muka duit syiling yang sama perlu ditimbangkan bersama-sama bagi membuat keputusan yang seimbang.

“Konfliknya bukanlah antara nyawa orang ramai dengan ekonomi kerana ekonomi juga mewakili nyawa manusia juga,” katanya.

Beliau mengingatkan mengenai bilangan nyawa yang mungkin “musnah” akibat dasar penutupan sempadan negara.