Guan Eng gesa moratorium pinjaman dilanjut 6 bulan lagi selepas lanjutan PKPP

Lim Guan Eng berkata, jaminan pandemik Covid-19 terkawal akan lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan kecil, jika langkah kewangan juga diumumkan untuk mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan.

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng menggesa Putrajaya melanjutkan moratorium pembayaran pinjaman bank selama 6 bulan lagi selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan disambung sehingga akhir tahun ini.

Beliau terkejut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tidak mengumumkan pakej rangsangan tambahan dengan lanjutan PKPP itu dan tidak meneruskan moratorium itu akan memberi kesan buruk kepada pekerjaan, perusahaan kecil dan sederhana serta pengilang.

Katanya, melanjutkan moratorium untuk 6 bulan lagi selepas ia tamat 30 Sept ini hanya akan menelan belanja RM6.4 bilion kepada pihak bank dan institusi kewangan mampu menanganinya.

“Perdana menteri harus menyedari lanjutan PKPP akan membawa kesan negatif ekonomi yang harus dibantu dengan bantuan kewangan.

“Jaminan pandemik Covid-19 terkawal akan lebih menggembirakan pekerja dan perniagaan kecil, jika langkah kewangan juga diumumkan untuk cepat mengeluarkan ekonomi kita daripada kemelesetan yang dihadapi sekarang.

“Jelas tambahan RM45 bilion diperlukan kepada suntikan dana RM45 bilion sedia ada (jumlah RM90 bilion) untuk menyelamatkan bukan saja pekerjaan rakyat Malaysia, PKS tetapi juga pengilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim menggesa Putrajaya tidak menunggu sehingga tahun depan untuk mengumumkan langkah bantuan kerana menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan perlu menjadi keutamaan.