Kenapa projek KVDT 2 diteruskan pada harga lebih tinggi RM4.475 bilion, Wee tanya Loke

Wee Ka Siong berkata, hujah Loke Siew Fook yang PH berjaya menurunkan 15% kos projek KVDT 2 mengelirukan kerana pengurangan skop kerja dan penjimatan kos adalah ‘2 perkara berbeza’.

PETALING JAYA: Pertikaian berhubung kos Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) berterusan antara Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dan bekas penyandang jawatan itu, Loke Siew Fook.

Wee mempersoalkan kenapa projek itu masih diteruskan pada harga lebih tinggi RM4.475 bilion, walaupun Loke sudah memaklumkan Kabinet anggaran kos itu boleh diturunkan kepada kira-kira RM3 bilion hingga RM3.5 bilion, jika ditender semula.

Beliau menolak penjelasan Loke terdahulu akan timbul akibat undang-undang dan pampasan, jika kontrak itu dibatalkan.

Merujuk minit mesyuarat Kabinet Pakatan Harapan pada 19 Sept 2018 sehingga 2 Julai 2019, Wee mendakwa kerajaan ketika itu membuat beberapa pusingan U mengenai surat setuju terima projek berkenaan yang disifatkannya ibarat “roller coaster”.

Katanya, hujah Loke yang PH berjaya menurunkan 15% kos projek itu mengelirukan kerana pengurangan skop kerja dan penjimatan kos adalah “2 perkara berbeza”.

“Kalau kurangkan skop kerja pastinya kos projek dapat dikurangkan, tetapi ianya bukan penjimatan berdasarkan perbandingan ‘epal dengan epal’.

“Apa yang didapati di dalam cadangan projek KVDT 2 dengan pengurangan kos 15%, ianya lebih menjurus kepada pengurangan skop kerja sama ada butiran kerja tertentu dikeluarkan dari asal atau ianya dibuat oleh pihak lain.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata, kerajaan PN memutuskan untuk membuka semula tender projek itu selepas mendapat input pakar rujuk, profesional dan banyak syarikat yang lama berkecimpung dalam pembinan rel.

Beliau meminta Loke bersabar untuk melihat keputusan tender terbuka projek itu dan memberi jaminan harga bidaan pasti jauh lebih rendah daripada RM4.475 bilion.

“Walaupun 1,000 kali Anthony (Loke) maki hamun saya dan MCA, realitinya tetap sama, iaitu – PH yang melaung-laungkan mahu mengamalkan proses tender terbuka gagal berbuat demikian sepanjang pemerintahan PH selama 22 bulan.

“Sebaliknya PN mampu melakukan tender terbuka serta mengarahkan projek KVDT 2 ditender semula atas dasar mengoptimakan penggunaan dana awam bagi projek ini.”

Projek sepanjang 110km itu melibatkan 2 landasan kereta api KTM, satu dari Salak Selatan ke Seremban serta satu lagi dari lokasi antara Kuala Lumpur Sentral dan Angkasapuri ke Pelabuhan Klang.