BN dahului PRK Slim lebih 9,000 undi

Mohd Zaidi Aziz memperoleh 11,352 undi setakat ini.

TANJUNG MALIM: Keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz mendahului Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim dengan majoriti selesa.

Berdasarkan pengiraan 50 daripada 56 saluran peti undi setakat ini, Zaidi memperoleh 11,352 undi, manakala 2 calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendapat 1,861 undi dan Santhara Sekaran Subramaniam meraih 242 undi.

Ini menunjukkan BN mendahului dengan majoriti 9,491 undi.

Semua 12 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi.

Seramai 14,342 pengundi atau 60% daripada 23,094 pemilih berdaftar keluar mengundi setakat 3 petang tadi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Khusairi menjadi Adun Slim sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Pada PRU14, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim ialah PRK ke-2 yang diadakan dalam normal baru susulan penularan Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.