Kerajaan buka tender projek KVDT2, kata Wee

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, kerajaan akan membuka tender projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT 2) kerana kos projek berkenaan di bawah terlalu tinggi semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan membuka tender projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT 2), kata menterinya Wee Ka Siong.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, langkah berkenaan diambil setelah mempertimbangkan hasil penelitian dan penyelidikan menyeluruh yang mendapati kos projek berkenaan di bawah Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) terlalu tinggi semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu beliau berkata, proses bidaan untuk projek berkenaan akan dilakukan secara tender terbuka mengikut prosedur yang betul, bukannya secara rundingan terus seperti dilakukan sebelum ini.

“Bagi mengoptimumkan penggunaan dana awam untuk projek infrastruktur berskala besar, kerajaan (Perikatan Nasional-PN) telah menyemak dengan teliti projek tersebut demi manfaat negara.

“Lantaran itu, saya ingin mengumumkan bahawa tender untuk projek Landasan Berkembar Lembah Klang atau KVDT 2 akan dibuka sebagaimana dipersetujui Kabinet,” katanya dalam kenyataan itu.

Wee berkata, pada 5 Julai 2019, kerajaan PH memutuskan untuk meneruskan projek tersebut dengan kontraktor DM-LTAT pada kos 15% lebih rendah daripada RM5.265 bilion kepada RM4.475 bilion, iaitu RM789.750 juta, termasuk pengurangan skop kerja.

Pada Oktober 2018, perunding yang ditugaskan oleh kementerian, Opus Consultants (anak syarikat Khazanah Nasional Bhd) mengemukakan Laporan Kajian Profesional (PPR) yang mendapati kos projek tersebut dianggarkan hanya RM3.398 bilion berdasarkan skop kerja DM-LTAT yang asal.

“Maklumat ini tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet pada masa itu,” katanya.

Wee berkata, susulan itu, Kabinet PN telah bersetuju bahawa pelaksanaan projek dengan bersandarkan kepada rundingan terus tidak boleh diteruskan.

“Sehubungan itu, proses bidaan untuk projek ini akan dilakukan secara tender terbuka mengikut prosedur yang betul, bukannya secara rundingan terus seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Wee berkata, perunding pemeriksaan berkecuali (ICC) akan dilantik sebelum kontraktor baru dapat melaksanakan skop kerja yang diperlukan untuk memendekkan tempoh pembinaan projek daripada 7 tahun kepada 5 tahun.

“Ini adalah penting dan diperlukan kerana projek ini akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kira-kira 80,000 pengguna Komuter setiap hari.