Kerajaan tekad bebaskan Jalan Petaling daripada peniaga asing haram

Santhara Kumar merayu orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan warga asing berniaga tanpa lesen dan khidmat pelacuran di Jalan Petaling kepada pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad membebaskan Jalan Petaling yang lebih dikenali sebagai “Petaling Street” di ibu kota daripada penguasaan peniaga asing berkelakuan ala gengster, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kebanjiran warga asing berniaga tanpa lesen dan menawarkan khidmat pelacuran di sekitar kawasan itu.

“Kita mahu memerdekakan Petaling Street. Bandar kita kalau penuh dengan peniaga warga asing di Petaling Street, apakah ertinya kemerdekaan kepada warga Kuala Lumpur.

“Ketika ini, kita giat menjalankan operasi, ini baru peringkat permulaan dan kita tidak akan berhenti. Kita mahu menjalankan tanggungjawab diberikan rakyat, tidak mahu tunduk kepada tekanan politik.

“Pada masa sama, saya merayu orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media hari ini sempena Operasi Tebah yang diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen, polis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Santhara Kumar (berbaju batik) berbincang dengan anggota penguatkuasa sempena Operasi Tebah di Jalan Petaling hari ini.

Mengulas operasi itu, Santhara berkata, tiada tangkapan dalam serbuan ke atas 7 premis hari ini kerana pemilik premis pelacuran dan peniaga asing tanpa lesen dipercayai mengupah “mata-mata” serta memasang kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, sebahagian premis itu turut didapati mengubah suai struktur bangunan dan membuat pintu rahsia.

“Serbuan dibuat hasil risikan selama 3 minggu yang membolehkan kita mengesan lokasi panas kegiatan tidak bermoral itu.

“Kita menghadapi masalah bila premis ini mempunyai ‘runner’, CCTV, pintu rahsia dan mengubah struktur bangunan bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa.

“Kita akan terus jalankan operasi, kalau perlu setiap minggu kita akan berbuat demikian. Kalau perlu, 2 kali sehari pun kita akan buat.”

Dalam operasi hari ini, 55 kompaun dikeluarkan, manakala 164 papan lapis yang memisahkan setiap bilik dipercayai untuk menjalankan aktiviti pelacuran dirobohkan.