Lebih baik jika Sabah sehaluan dengan Putrajaya, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin (tengah) tiba untuk majlis perjumpaan bersama penjawat awam persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kecewa kerana kerajaan tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan di bawah pimpinannya.

Bercakap kepada penjawat awam persekutuan di sini, hari ini, Muhyiddin berpuas hati dengan prestasi sektor itu setakat ini, tetapi beliau hanya menghadapi satu masalah ketika ini.

“Cuma kecewa sedikit…Sabah tidak sebaris dan sehaluan dengan kita,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

“Bayangkan jika Sabah dan kerajaan persekutuan bekerja sebagai satu pasukan, boleh anda bayangkan? Ini bukan politik, ia realiti…ini berkempen sedikit (untuk Pilihan Raya Negeri akan datang),” katanya disambut dengan gelak tawa hadirin.

“Dia (Ketua Menteri, Shafie Apdal) kawan baik saya sudah begitu lama. Dulu sama-sama satu landasan, pernah jadi menteri, dan dia kembali untuk mentadbir negeri.

“Tetapi, saya rasa dan saya sudah mengalaminya, mempunyai orang di platform sama dan bekerja sebagai satu pasukan akan memberi lebih banyak impak.

“Itu yang saya harapkan, untuk Sabah.”

Beliau turut menggesa penjawat awam persekutuan berfikir lebih kreatif untuk menambah baik perkhidmatan mereka kepada rakyat, khasnya ketika pandemik Covid-19.

Katanya, walaupun penjawat awam terikat kepada pekeliling kewangan dan pentadbiran serta arahan ketua jabatan, ia tidak patut dijadikan alasan untuk tidak meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Inilah masanya anda memerlukan kreativiti, keberanian dan bertindak segera.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan depan, termasuk ramai daripada sektor awam atas pengorbanan mereka ketika perintah kawalan pergerakan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan mengambil usaha mitigasi untuk menangani kesan pandemik melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi.

“Jangan tanya saya dari mana kita dapat wang. Kali terakhir, mereka kata tak ada duit (jadi) ini perlu melibatkan kebijaksanaan PM.”

Muhyiddin turut memuji rakyat kerana mematuhi garis panduan dan SOP ditetapkan.

Katanya, pandemik itu mengajar negara banyak perkara dari segi persiapan untuk menghadapi keadaan terburuk, termasuk dalam pendidikan.

Beliau berkata, Malaysia sepatutnya melalui proses digitalisasi sebelum ini dan, sebagai akibatnya, mengalami kesan Covid-19.

Jika negara melaksanakan rancangan itu lebih awal, katanya, semua pelajar boleh belajar dalam talian, bukannya ketinggalan disebabkan penutupan sekolah.

“Ia adalah salah kami. Sudah tentu, ada rintangan kewangan, tetapi ia adalah pengajaran yang dipelajari…apa yang Covid-19 ajar kita. Tetapi, tidak lama lagi, kami akan melancarkan program digitalisasi ini.”

Tiada kompromi tuntutan ke atas Sabah

Mengenai tindakan Filipina memasukkan peta Sabah dalam pasport antarabangsanya, Muhyiddin berkata, Malaysia tegas mempertahankan Sabah daripada tuntutan yang mempertikaikan kedaulatannya.

“Saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia…Sabah sebahagian daripada Malaysia.

“Jangan ada usaha untuk menarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain daripada Malaysia menuntut Sabah untuk menjadi sebahagian daripada wilayah mereka.”