Polis terima 5 laporan sepanjang kempen PRK Slim

Sulizmie Affendy Sulaiman enggan mengulas penceramah yang dilaporkan itu dan kes itu dirujuk kepada SPR.

SLIM RIVER: Polis menerima 5 laporan sepanjang 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim berlangsung.

Ketua Polis Daerah Muallim, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, 2 laporan terbaru itu membabitkan risalah calon diedarkan bersama Jalur Gemilang yang tertera sumbangan Jabatan Penerangan dan kes tidak berpuas hati terhadap penceramah ketika berkempen.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat 2 laporan terbaru yang diterima 2 hari sebelum tamat tempoh berkempen pada 12 tengah malam tadi.

“Kita rujuk kepada lain-lain agensi bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas penceramah yang dilaporkan itu dan kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sebelum ini, Sulizmie dilaporkan berkata, laporan polis pertama yang diterima pada 20 Ogos lalu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat kepada harta benda.

Katanya, laporan ke-2 diterima pada 22 Ogos lalu berkaitan satu catatan di media sosial berkaitan perkara tidak benar dan kes itu selesai selepas pengadu berpuas hati dengan permohonan maaf pemilik akaun media sosial itu, manakala kes ke-3 diterima 23 Ogos lalu berkaitan sebuah karnival dirujuk kepada SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, ditanya sama ada SPR mengarahkan polis untuk melarang pengundi berseluar pendek memasuki pusat mengundi, Sulizmie berkata, mungkin berlaku salah faham dalam insiden itu.

“Saya tak boleh komen lebih lanjut. Mungkin ada salah faham yang berlaku, tapi saya tetap menegaskan kita membantu di pusat mengundi.

“Saya ingin jelaskan di sini sebagaimana saya sebutkan, kita pihak polis membantu mengawal keselamatan di pusat mengundi, termasuk kawalan 50m di pagar pintu masuk pusat mengundi.”

Pagi tadi, beberapa warga emas yang berseluar pendek tidak dibenarkan memasuki Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki untuk membuang undi.

Beberapa individu itu juga dilihat mengoyak kad pengundi maklumat “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan” kerana berang dengan larangan itu.

Susulan itu, SPR dilaporkan mengakui berlaku salah faham dalam insiden itu.

Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tiada peraturan khusus di bawah Akta Pilihan Raya yang melarang pengundi berseluar pendek mengundi, sebaliknya larangan dibuat ke atas individu berbaju parti.

Sementara itu, semua 12 pusat mengundi PRK Slim ditutup 5.30 petang tadi.

Sehingga 3 petang tadi, 14,342 pengundi atau 60% daripada 23,094 pemilih berdaftar keluar mengundi.

Semua peti undi akan dibawa ke Majlis Daerah Tanjung Malim untuk proses pengiraan undi.