Tiada SOP MKN larang pengundi berseluar pendek, hanya cadangan ikut masa, kata Ismail

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob meninjau proses pengundian PRK Slim di SK Aminuddin Baki hari ini.

SLIM: Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) khusus melarang mana-mana pengundi berseluar pendek daripada memasuki pusat mengundi.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaacob berkata, SOP melibatkan larangan pengundi daripada memasuki pusat mengundi hanya diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“(SOP) isu pengundi berseluar pendek tidak dibenar masuk mengundi itu tidak (dikeluarkan) oleh kita (MKN). Itu (soal kebenaran mengundi) peraturan SPR.

“Saya tidak tahu apakah sebenarnya peraturan dari segi mengundi ini, SPR tetapkan. Saya jaga dari segi SOP di bawah Akta 342, dari segi kesihatan, pemakaian pelitup muka di kawasan sesak, soal penjarakan sosial.

”Tidak dibenar masuk ke dalam (pusat mengundi) bukan kerana SOP (MKN). Itu SPR yang tentukan di bawah Akta Pilihan Raya,”katanya kepada pemberita ketika meninjau proses pengundian di SK Aminuddin Baki di sini, pagi tadi.

Ismail berkata, MKN dan SPR hanya membuat peraturan bersama, iaitu mengenai kad maklumat pengundi “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan”.

Bagaimanapun katanya, ia tidak wajib.

“Saya difahamkan ada kes pengundi tidak dibenar masuk ke pusat mengundi kerana datang tidak ikut jadual ditetapkan.

“Saya dengan SPR bersetuju soal (kad pengundi) hanyalah galakkan pergi mengundi ikut masa ditetapkan supaya tidak perlu beratur panjang, tetapi itu bukan kemestian yang diwajibkan, tapi digalakkan.

“Maknanya kalau mereka tak ikut masa, mereka mesti dibenarkan masuk. Saya harap SPR tidak mengenakan tindakan yang salah dari segi SOP yang dipersetujui. Mereka perlu dibenarkan masuk mengundi,” katanya.

Terdahulu, proses pembuangan undi bagi PRK Slim pagi ini kecoh seketika susulan salah faham berhubung pakaian yang dibenarkan.

Kejadian berlaku di Pusat Mengundi SK Aminuddin Baki apabila beberapa pengundi tidak dibenarkan masuk membuang undi kerana berseluar pendek.

Beberapa individu dilihat mengoyak kad maklumat pengundi SPR kerana berang dengan larangan itu.