Umno pun bersama bukan Melayu, MCA, MIC, Ismail Sabri jawab Ku Li

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, Muafakat Nasional bukan sahaja melibatkan Umno, PAS dan PPBM, tetapi juga MCA dan MIC.

SLIM: Umno mengamalkan sikap terbuka dengan membenarkan ahli dan pimpinannya memberi pandangan secara terbuka, kata naib presiden parti itu Ismail Sabri Yaacob.

Beliau berkata, walaupun pemimpin diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan, namun keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno dan kenyataan selain daripada itu ia tidak mewakili parti.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa pemimpin parti itu yang menganggotai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik diri.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, ini kerana PPBM, yang merupakan anggota Muafakat Nasional (MN), bercadang untuk menerima orang bukan Melayu sebagai ahlinya.

Justeru katanya, PPBM tidak lagi layak berada dalam “pakatan orang Melayu-Islam” yang didukung oleh MN.

“Dalam Umno sesiapa sahaja bebas memberi pandangan, daripada ahli sehingga ke peringkat tertinggi. Sesiapa sahaja boleh beri pandangan, tapi keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno.

“Itu pandangan perbadi bukan pandangan parti. Pandangan parti hanya dikeluarkan selepas mesyuarat MT,” katanya ketika ditemui media di pusat pengundian di SK Aminuddin Baki sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini, hari ini.

Ismail berkata, perkara itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana dalam BN dan PN terdapat parti bukan Melayu dan lain-lain.

Katanya, beliau difahamkan PPBM akan menjadi parti campuran yang menerima keahlian bukan Melayu.

“Umno pun bersama MCA dan MIC, iaitu komponen BN. Dalam Muafakat Nasional kita bersetuju ia bukan sahaja melibatkan Umno dan PAS, tetapi juga bersama-sama dengan MCA dan MIC.

“Dia (PPBM) parti campuran, saya difahamkan, tapi dalam kita pun walaupun Umno parti Melayu Bumiputera sepenuhnya, tapi rakan kita MCA dan MIC, adalah parti kaum Cina dan India.

“Saya percaya isu seperti ini tidak sepatutnya timbul,” katanya.