Warga Afghanistan hilang kerja akibat Covid-19, perang beralih tanam candu

Petani menunjukkan candu yang dituai daripada ladang popinya di wilayah Nangarhar pada Jun lalu. (Gambar AFP)

JALALABAD: Rakyat Afghanistan yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 selepas perniagaan dan sekolah ditutup beralih kepada penanaman candu untuk mendapatkan wang ketika penuaian popi tahun ini.

Afghanistan sudah lama menjadi penanam candu terbanyak, dengan menghasilkan lebih 80% bekalan dunia dan menyediakan ratusan ribu pekerjaan dalam ekonomi serba kekurangan wang itu.

Perintah berkurung dan sekatan perjalanan akibat koronavirus menyebabkan perdagangan tergendala dan pekerja terpaksa dibehentikan di negara yang dibelenggu konflik dan pekerjaan stabil jarang diperolehi.

“Akibat koronavirus saya hilang pekerjaan. Saya mempunyai keluarga yang terdiri daripada 12 ahli, saya adalah pencari nafkah,” kata Fazily, 42, mekanik di wilayah tengah Uruzgan yang, seperti kebanyakan rakyat Afghanistan, hanya mempunyai satu nama.

“Saya tidak ada cara lain, selain bekerja di ladang popi untuk mencari sedikit wang.”

Petani biasanya bergantung kepada tenaga buruh bermusim untuk penuaian musim panas dan bunga, tetapi pandemik koronavirus bermakna ramai yang tidak mahu atau tidak dapat keluar bekerja.

Laporan yang dikeluarkan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada Jun lalu mendapati kekurangan pekerja berlaku di “wilayah barat dan selatan negara itu, kebanyakannya akibat penutupan sempadan dengan Pakistan”.

Pelajar tidak dapat ke sekolah akibat sekatan pergerakan antara mereka yang bekerja di ladang popi candu untuk mendapatkan wang.

“Sekolah kami ditutup dan saya ada masa mencukupi untuk bekerja di sebuah ladang popi dan mendapatkan sedikit wang,” kata Nazir Ahmad, pelajar berusia 18 tahun di Kandahar.

“Kira-kira 20 rakan sekelas saya juga bekerja di sini.”

Lebih 1,400 dicatatkan daripada 38,000 kes positif Covid-19 di Afghanistan, walaupun Kementerian Kesihatan pada awal bulan ini menganggarkan 1/3 populasi berkemungkinan sudah dijangkiti virus itu.

Perintah berkurung selama sebulan, yang menjejaskan kebanyakan bandar, dibatalkan secara berperingkat mulai bulan ini, dengan sesetengah sekolah, dewan perkahwinan dan pasar dibuka semula.

Walaupun banyak program pembanterasan dilaksanakan sejak bertahun lamanya, petani Afghanistan terus menanam popi dengan kerana pegawai kerajaan dan Taliban sering mendapat keuntungan daripada perdagangan lumayan itu.

Kebanyakan pengeluaran popi berpusat di kubu kubu dikuasai Taliban di wilayah selatan, walaupun candu turut ditanam di sepanjang sempadan timur negara itu dengan Pakistan.

“Tiada pekerjaan dan ramai, khasnya saudara-mara saya dan penduduk kampung menanam popi kerana menganggur,” kata Musafir, penduduk di daerah Khogyani, wilayah timur Nangarhar kepada AFP.

Taliban sudah lama mendapat keuntungan daripada popi dengan mengenakan cukai kepada petani dan penyeludup, serta mengendalikan kilang penghasilan dadah sendiri yang menjadikan candu mentah kepada morfin atau heroin untuk dieksport, dengan dadah itu kemudiannya diperdagangkan melalui negara jiran Pakistan dan Iran.

Penderma antarabangsa membelanjakan berbilion dolar dalam usaha membanteras dadah di Afghanistan selama sedekad lalu, termasuk program untuk menggalakkan petani beralih kepada tanaman lain seperti safron.

Tetapi, usaha menjauhkan petani daripada penanaman popi yang berbahaya dan lumayan hanya mencapai sedikit kejayaan.

“Dasar pembanterasan paksa tidak berhasil sejak 18 tahun lalu,” kata Hayatullah Hayat, gabenor di wilayah selatan Kandahar.

“Malangnya, Kandahar berdepan peningkatan penanaman popi tahun ini.”