Dakwaan PPBM lari daripada matlamat asal tidak tepat, kata Hamzah

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainuddin berkata, parti itu mengiktiraf sumbangan serta peranan ahli bersekutunya dan akan memperkasakan penglibatan mereka dari semasa ke semasa.

PETALING JAYA: PPBM berkata dakwaan bahawa parti itu lari daripada matlamat asal selepas membuka keahliannya kepada bukan Bumiputera tidak tepat.

Setiusaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata, beliau membuat kenyataan bagi menjawab dakwaan beberapa pihak berhubung isu tersebut.

“Sebagai sebuah parti politik yang berpandangan jauh dan inklusif, PPBM mengiktiraf sumbangan serta peranan ahli bersekutu dan akan terus memperkasakan penglibatan dalam kalangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lepas, pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keputusan PPBM untuk menerima ahli bukan Melayu menyebabkan parti itu secara sendirinya tidak lagi layak menjadi anggota pakatan orang Melayu Islam yang didukung oleh Muafakat Nasional (MN).

Tengku Razaleigh Hamzah

Beliau berkata, Umno tidak pernah menjadi anggota kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanya memberi sokongan ke arah penubuhan kerajaan itu bagi menjaga dan memelihara kestabilan politik negara.

Beliau menggesa anggota Kabinet dari Umno berundur secepat mungkin supaya parti itu tidak “membuang masa” dalam kerajaan.

Sebaliknya kata beliau, Umno harus memberi tumpuan kepada masalah lebih besar seperti kedudukan orang muda yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.

Hamzah berkata, PPBM mengalu-alukan hasrat mana-mana rakyat Malaysia yang ingin menyertai parti itu sebagai ahlibiasa atau ahli bersekutu.

Berhubung isu penyertaan ahli baru dalam kalangan bukan Bumiputera beliau berkata, perlembagaan PPBM sedia ada telah memperincikan perihal berkaitan ahli bersekutu seperti yang tercatat dalam Fasal 7 (keahlian), Fasal 8 (pendaftaran keahlian) dan Fasal 9 (tanggungjawab dan hak ahli).

“Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM juga sedang mengkaji cadangan untuk mewujudkan badan ahli bersekutu yang akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih bermakna,” katanya.