Gesaan Ku Li supaya ahli Umno tarik diri daripada Kabinet tiada sambutan, kata penganalisis

Tengku Razaleigh Hamzah menggesa pemimpin Umno supaya menarik diri daripada Kabinet Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik berkata, mereka tidak menjangka menteri Umno dalam pentadbiran Perikatan nasional (PN) akan menerima gesaan pemimpin veteran parti itu Tengku Razaleigh Hamzah supaya menarik diri daripada Kabinet dan kerajaan.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, “sehingga matahari turun di sebelah timur dan naik dari sebelah barat” mereka tidak akan menarik diri.

Sementara itu Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, menteri Umno hanya akan menuruti gesaan itu sekiranya terdapat tekanan daripada Majlis Tertinggi parti itu.

Awang Azman berkata, sesetengah pemimpin Umno kelihatan selesa bersikap pro-PPBM dan juga pro-Umno bagi melindungi kuasa dan kedudukan masing-masing.

“Sukar bagi mereka untuk menerima gesaan Razaleigh kerana mereka selesa dengan kedudukan dan kuasa yang diperolehi sebagai sebahagian daripada Kabinet PN. Misalnya (Menteri Wilayah Persekutuan) Annuar Musa sudah pasti akan mempertahankan PPBM, tetapi mungkin berubah pendirian sekiranya ditekan oleh akar umbi Umno,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Razaleigh merupakan isyarat kepada Umno supaya tidak menerima PPBM ke dalam Muafakat Nasional (MN), dengan menambah bahawa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi perlu bertindak segera dan tuntas bagi mengelakkan tindak balas buruk daripada akar umbi parti itu.

Katanya, bantahan terhadap penyertaan PPBM disebabkan MN merupakan kerjasama antara parti orang Melayu-Islam, sedangkan PPBM membuka pintunya kepada bukan Bumiputera.

Pada Jumaat, Razaleigh atau Ku Li berkata, pemimpin Umno harus menarik diri daripada kerajaan berikutan keputusan PPBM untuk menerima orang bukan Melayu sebagai ahlinya.

Beliau berkata, langkah itu menghilangkan kelayakan PPBM untuk menyertai MN, selain menambah bahawa Umno tidak pernah menyertai PN, tetapi hanya menyokongnya bagi membentuk kerajaan atas kepentingan negara dan kestabilan politik.

Oh berkata, pemimpin Umno dalam Kabinet boleh menggunakan gesaan Razaleigh itu sebagai alasan untuk menyingkirkan PPBM, malah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, ia tidak sukar memandangkan bilangan kerusi yang dikuasai PPBM sedikit, selain kedudukan Muhyiddin yang tidak kukuh kerana berdepan tekanan daripada kedua-dua belah pihak.

“Oleh sebab itu beliau berusaha membuka ruang politik baru untuk PPBM dengan menerima ahli bukan Bumiputera. Langkah itu sudah pasti akan memperkuatkan kedudukan Mohamed Azmin Ali dalam parti, tetapi itu cerita lain,” katanya.

Oh berkata, Muhyiddin akan berusaha menarik lebih ramai ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) ke kem beliau dengan membuka PPBM ke kaum lain, sekali gus memposisikan parti itu sebagai parti berbilang kaum.

Awang Azman berkata, cadangan itu tidak akan menarik kelompok bukan Bumiputera, sebaliknya PPBM berdepan risiko hilang sokongan akar umbi yang menyertainya sejak awal.

“Tiada jaminan komuniti bukan Bumiputera akan menyokong, apatah lagi menyertai PPBM. Kekecualiannya ialah ahli politik yang ‘terperangkap’, misalnya pemimpin PKR yang keluar parti.

“Muhyiddin ada 2 pilihan, mengalah kepada Umno atau kembali bersama PH. Beliau perlu menimbangkan untuk memulangkan kerajaan kepada PH seperti mandat asal atau membubarkan Parlimen.

“Tidak mudah untuk menyelesaikan keadan ini melalui akuan bersumpah kerana ia bukan mandat pengundi,” katanya.

Oh berkata, kenyataan Razaleigh tidak mempunyai kesan besar kerana pemimpin veteran itu tidak lagi mendapat sokongan atau mempunyai pengaruh seperti dinikmatinya pada tahun 1980an dan 1990an.

Katanya, Razaleigh tidak dibimbangi oleh Zahid, yang lebih perlu berwaspada terhadap kumpulan lain dalam Umno yang diketuai oleh timbalan beliau, Mohamad Hasan, malah bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

“Saya fikir cabaran yang dihadapi oleh Zahid tidak datang daripada Ku Li. Beliau kini berusia lewat 80an, selain tidak seperti Mahathir. Cabaran terhadap Zahid datangnya daripada kumpulan lain.