Kemenangan calon BN bukti rakyat yakin dasar kerajaan PN, kata Muhyiddin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan calon BN dalam PRK Slim juga membuktikan gabungan PPBM, Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional mampu meraih sokongan padu pengundi.

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam membuktikan keyakinan rakyat pada parti itu serta dasar yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dalam kenyataan hari ini berkata, kemenangan itu juga jelas membuktikan parti PPBM, Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) mampu mewujudkan kesepakatan yang jitu untuk meraih sokongan padu pengundi.

“Saya berharap YB Zaidi akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat dengan cemerlang,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Zaidi dan jentera yang terlibat dalam membantu kemenangan calon itu.

Zaidi mengekalkan kerusi DUN Slim selepas menang dengan majoriti besar 10,945 apabila memperoleh 13,060 undi menewaskan 2 calon Bebas, iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran Subramaniam, yang memperoleh 276 undi.