LDP pilih calon muda Bumiputera Islam tanding kerusi Bongawan

Chong Kah Kiat (berdiri) berucap pada majlis bersama rakyat LDP di Menggatal, Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) memilih calon Bumiputera Islam untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Bongawan pada Pilihan Raya Negeri bulan depan.

Presiden Kehormat Seumur Hidupnya, Chong Kah Kiat mengumumkan anak jati Bongawan berusia 29 tahun, Mohd Azree Abd Ghani akan mewakili LDP di kerusi dengan majoriti pengundi Bumiputera Islam itu di bawah Parlimen Kimanis.

Katanya, apa yang penting untuk Bongawan ialah pembangunan jalan raya, hospital, bekalan elektrik dan air di sesetengah kawasan di DUN itu, tetapi wakil rakyat terdahulu gagal membangunkan kawasan itu.

“Oleh itu, kali ini saya pilih sendiri calon LDP, calon yang baik dan jujur, Azree. Beri peluang kepada beliau dan parti LDP. Kami akan lakukan yang terbaik untuk Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Menggatal hari ini.

Chong berkata, parti itu memilih calon berintegriti dan tidak akan membuat janji kosong kerana pemilihan calon yang tepat bukan saja penting untuk mencapai kemenangan, tetapi juga memastikan nasib rakyat terbela.

“Jangan jadi pemimpin yang janji hari ini, tapi esok tiada yang dilakukan.

“Saya pilih pemimpin yang betul-betul jujur, kita mahukan calon yang berintegriti dan mampu membawa kemajuan di kawasan masing-masing.”

Difahamkan, LDP sudah menyenaraikan sejumlah calon untuk mewakili parti itu, termasuk di kawasan majoriti pengundi Bumiputera Islam dan Kadazandusun Murut.

LDP sebelum ini mengumumkan mahu bertanding lebih 40 kerusi, sejajar misinya pada PRN Sabah untuk menjadi kuasa ke-3 bagi menghalang kemaraan Perikatan Nasional dan Warisan.

LDP ketika bersama Barisan Nasional dahulu, hanya bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina.