Lelaki ditahan pukul, tolak isteri keluar kereta

Tangkap layar daripada klip video menunjukkan pintu bahagian penumpang hadapan Suzuki Swift terbuka dan kaki penumpang terkeluar.

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman video pergaduhan yang menyebabkan suspek menolak isterinya dari kereta dinaiki mereka sehingga wanita itu cedera di Jalan Magazine di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita 26 tahun itu yang bekerja di kilang sebelum menyiasat dan menahan suaminya berumur 31 tahun pada 12.15 tengah malam tadi di Jalan Patani di sini.

“Berdasarkan siasatan awal, dalam kejadian kira-kira 7.45 malam itu, mangsa menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu suaminya dan ketika melalui Jalan Magazine, berlaku pergaduhan antara mereka kerana masalah keluarga.

“Akibat pergaduhan itu telah menyebabkan pintu penumpang hadapan terbuka dan mangsa hampir terkeluar dari kereta. Kejadian tersebut turut dirakam penumpang sebuah kereta yang berada di belakang kenderaan pasangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut wanita itu, sebaik sampai di hujung Jalan Dr Lim Chwee Leong, suaminya terus menolak mangsa keluar dari kereta dan meninggalkan mangsa di atas jalan sebelum orang ramai membantunya serta menghubungi polis.

Soffian berkata, wanita itu mengalami kecederaan ringan di muka dan mulut akibat dipukul suaminya. Pasangan tersebut mempunyai seorang anak.

Katanya, wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 10 malam selepas mendapatkan rawatan awal akibat kecederaannya dan polis kemudiannya menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas Suzuki Swift yang dipandu lelaki itu dan siasatan mendapati dia yang tidak bekerja (penganggur) mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.”

Beliau berkata, lelaki itu direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1997.

Sejak semalam tersebar satu klip video menunjukkan sebuah Suzuki Swift dengan pintu bahagian penumpang hadapan terbuka dan kaki penumpang terkeluar.

Kedengaran jeritan seorang wanita sebelum kenderaan itu berhenti untuk menutup pintu dan individu yang merakam video itu keluar cuba memberi bantuan, namun pemandu (Suzuki Swift) terus memecut.