Muhyiddin saran naikkan bantuan bulanan JKM RM200 kepada RM1,000

Sistem e-Kasih ialah pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan. Keluarga yang layak kini menerima bantuan bulanan JKM berjumlah RM200 hingga RM300. (Gambar Bernama)

SANDAKAN: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengusulkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ketika ini berjumlah RM200 dan RM300 dinaikkkan kepada RM1,000 untuk keluarga yang layak.

Katanya, beliau akan mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Saya tahu cakap (kenyataan) saya ini mempunyai implikasi besar, but ‘I don’t care’.

“Apa yang penting ialah pendapatan rakyat di akar umbi…mereka menderita sejak sekian lama,” katanya pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat hari ini.

Beliau berkata, usaha membantu golongan itu, termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinannya.

Beliau turut meluahkan rasa sedih terhadap nasib golongan itu, walaupun negara sudah lama merdeka.

“Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup.

“Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera,” katanya yang dalam rangka lawatan rasmi 2 hari ke Sabah bermula semalam.