Perlu masa lama pinda 2 akta untuk naikkan kompaun, kata menteri

Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan menaikkan kompaun sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali ganda daripada kadar sekarang RM1,000 terhadap mereka yang mengingkari SOP dibangkitkan dalam Kabinet minggu lalu.

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu membuat pindaan terhadap 2 akta jika ingin meneruskan cadangan menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan ingkar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 2 akta itu ialah Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) serta Akta 342.

“Dalam Akta Tafsiran, kompaun di situ adalah tidak lebih daripada RM1,000. Jadi, kalau Akta 342 nak dipertingkatkan dari segi jumlah kompaun, ia tidak boleh berbeza dengan Akta Tafsiran.

“Oleh itu, kerajaan perlu membuat pindaan kepada 2 akta, iaitu Akta Tafsiran serta Akta 342 dan perkara ini perlu dibentangkan dalam Parlimen,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 350 veteran tentera di Ulu Tiram hari ini.

Ismail berkata, cadangan kenaikan kompaun itu dibangkitkan dalam Kabinet minggu lalu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan diminta mengkaji keperluan pindaan itu.

“Kalau perlu pindaan, maka kita akan pinda, tetapi ia memerlukan masa yang lama kerana kita kena pinda 2 akta ini dan bawa ke Parlimen untuk dibahaskan dan kalau diluluskan, harus digazetkan.”

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas perintah kawalan pergerakan pemulihan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan dalam membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, cadangan menaikkan kompaun sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali ganda daripada kadar sekarang perlu diperhalusi dan Akta 342 perlu dipinda terlebih dahulu.

Ketika ini, Akta 342 memperuntukkan denda maksimum RM1,000 kepada orang ramai yang ingkar SOP.

Mengulas isu lain, Ismail berkata, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan perintah berkurung di seluruh Kedah, walaupun terdapat kluster baru Covid-19.

Katanya, ini kerana kerajaan sudah mengubah cara menangani kes terbabit.

“Dulu, apabila ada saja kes, kita isytihar seluruh negeri, selepas itu kita perkecilkan menjadi daerah, kemudian mukim dan selepas itu kepada lokaliti kawasan yang terlibat saja.

“Kalau kita buat macam dulu (laksana perintah berkurung di seluruh negeri atau daerah), ia tidak adil kepada kampung-kampung lain yang tiada kena-mengena.

“Jadi, kita tak lagi bertindak seperti itu. Kalau ada satu kampung terjejas, kita isytihar satu kampung itu saja,” katanya menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Mohd Hayati Othman hari ini.

Terdahulu, Hayati dilaporkan berkata, kerajaan negeri pernah mencadangkan kepada Putrajaya agar perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dilaksanakan secara meluas di negeri itu untuk menangani kes Covid-19, namun cadangan itu ditolak kerana terdapat beberapa kekangan, antaranya penempatan anggota keselamatan yang terhad serta dana banyak diperlukan untuk pengurusan dan pengagihan bantuan ke kawasan terjejas.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihaknya sedang berusaha memohon kepada kerajaan untuk memberikan elaun bulanan sara hidup RM350 kepada semua veteran tentera yang sudah dan layak menerima PJM.

“Ini sebagai menunjukkan keprihatinan kita. Kita tahu RM350 itu memang tidak cukup, tetapi ia merupakan penghargaan kita kepada mereka,” katanya sambil menambah terdapat 29,314 daripada lebih 121,000 veteran tentera yang layak menerima PJM sudah menerima pingat itu.