‘Prihatin Rakyat’ jadi prinsip utama kerajaan bela rakyat, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin melaungkan ‘Merdeka’ selepas selesai menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan ke-63 di Stadium Merdeka malam ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional akan menjadikan “Prihatin Rakyat” sebagai prinsip panduan utama dalam membela nasib dan mengutamakan kebajikan rakyat, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, prinsip itu sudah diterjemahkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Insya Allah, prinsip Prihatin Rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan. Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” katanya dalam perutusan khas Hari Kebangsaan ke-63 yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Beliau berkata, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin terhadap rakyat, termasuklah ketika berdepan pandemik Covid-19 dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

“Kita sediakan Bantuan Prihatin Nasional, morotarium bayaran pinjaman bank, bantuan kemudahan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah dan lain-lain bentuk bantuan berjumlah RM260 bilion keseluruhannya untuk meringankan beban rakyat.

“Di samping itu, untuk membantu memulihkan ekonomi, kerajaan melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau Penjana yang berjumlah RM35 bilion.”

Katanya, langkah itu membuahkan hasil hari ini apabila sektor ekonomi negara mula rancak dengan lebih 15 juta pekerja kembali bekerja, selain kadar pengangguran merosot daripada 5.3% pada Mei kepada 4.9% pada Jun lalu.

“Saya sedar banyak sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya. Tetapi saya yakin, sekiranya trend pemulihan ekonomi berterusan, ekonomi negara kita akan pulih lebih cepat.”

Muhyiddin berkata, beliau sedar bukan semua rakyat bernasib baik, dengan ada yang terpaksa melakukan 2, 3 pekerjaan untuk menyara keluarga, selain ramai yang tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi meneruskan kehidupan jika terputus mata pencarian.

“Saya sedar tentang perkara ini. Kerana itu, ketika wabak Covid-19 mula melanda negara dan sektor ekonomi ditutup, perkara pertama yang dilakukan kerajaan ialah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat. Alhamdulillah, pelbagai bantuan yang disediakan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat di waktu susah.”

Katanya, pandemik itu memberikan pengajaran amat bermakna kepada semua sehingga berjaya menangani krisis itu kerana dasar prihatin yang ditetapkan dan diamalkan, seperti petugas barisan hadapan dan sukarelawan, selain rakyat sendiri dalam mematuhi SOP ditetapkan.

Justeru, bersesuaian tema Hari Kebangsaan tahun ini, iaitu Malaysia Prihatin, beliau menyeru semua rakyat menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin mendalam terhadap satu sama lain.

“Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita. Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah kemerdekaannya, pertahankanlah kedaulatannya, peliharalah keamanannya.

“Insya Allah, tanah air kita yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat selama-lamanya,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 disertai laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”.