Sabah perlu amal norma baru dalam politik demi kestabilan, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin (duduk, tengah) menghadiri majlis perjumpaan bersama pimpinan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata amalan norma baru kehidupan susulan penularan Covid-19 juga perlu berlaku dalam politik di Sabah bagi memastikan kestabilan negeri itu.

Katanya, perpaduan dalam kalangan parti pembangkang di Sabah sangat penting, jika mereka mahu mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept nanti.

“Kita bersatu hatilah, tidak kira kita datang dari PPBM, Umno, PBS, STAR, PBRS, MCA, dan SAPP, kita semua adalah rakyat Malaysia.

“Ini adalah norma baru politik untuk kita duduk semeja demi kepentingan rakyat, kita perlu bersatu, bekerja sebagai satu pasukan dan apabila kita perolehi kejayaan nanti, kita akan bersama-sama majukan Sabah untuk rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pimpinan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Sabtu.

Turut hadir Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor, Ketua BN Sabah dan Umno negeri, Bung Moktar Radin, Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden PBS, Radin Malleh, Timbalan Presiden PBRS, Arthur Kurup, Presiden SAPP, Yong Teck Lee dan bekas ketua menteri, Musa Aman.

Muhyiddin berkata, penting untuk kerajaan Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan jika mahu pembangunan berterusan di negeri itu.

“Ini adalah soal masa depan, memang benar Sabah membangun, tetapi ianya belum cukup membangun.

“Saya tahu permasalahan utama di Sabah, iaitu dari segi infrastruktur, banyak jalan yang belum berturap dan kalau mahu belanjakan ia mencecah berpuluh bilion ringgit. Kerajaan Sabah saja tidak mampu, kalau tidak bekerjasama dengan (kerajaan) pusat…ini realiti bukan soal politik.”