Senarai baru AJK Teknikal Syarak dan Sivil diumum dalam 3 hari, kata menteri

Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, agenda utama Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil di bawah Jakim itu ialah memperkemaskan pindaan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 dan wakaf.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan senarai baru ahli Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selewat-lewatnya 3 hari, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Katanya, sebahagian daripada AJK terdahulu akan dilantik semula berdasarkan keperluan.

“Ini lebih kepada teknikal kerana kita tengok Tan Sri Sheikh (Ghazali Abdul Rahman) selesa bekerjasama dengan mereka (sebahagian AJK itu).

“Bagi saya, tiada masalah sangat, yang penting kita dapat kemaskan agenda,” katanya selepas program semarak dakwah sempena bulan kemerdekaan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia malam ini.

Beliau berkata, antara agenda utama jawatankuasa baru itu ialah memperkemaskan pindaan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505 dan wakaf.

“Kita cuba perhalusi dan bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.”

Baru-baru ini, timbul isu penamatan khidmat ahli Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil tanpa diberikan alasan jelas menerusi surat bertarikh 14 Ogos lalu, sedangkan kontrak mereka sepatutnya tamat hujung 2021.

Turut dipecat ialah Pengerusinya, Sheikh Ghazali bersama ahli, termasuk Hasan Abd Rahman, Nik Rahim Nik Wajis, Najibah Mohd Zain, Zulqarnain Lukman, Norazmir Zakaria, Fauwaz Fadzil dan Mohd Al Adib Samuri.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli enggan mengulas kontroversi kenyataan Ahli Parlimen Pasir Putih daripada PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kitab Injil sudah “dipesongkan ataupun diubah” di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

“Saya rasa lebih baik tanya mufti, saya tidak suka jawab sebab nanti orang akan kata saya jawab isu fatwa.”

Rabu lalu, Zawawi yang juga ketua ulama PAS dilaporkan berkata, semua agama tidak mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Zawawi bagaimanapun bertegas sebelum kitab Injil “dipesongkan ataupun diubah”, agama Kristian tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak pun.