Suhakam ulangi gesaan supaya kerajaan meratifikasi konvensyen PPB mengenai kehilangan paksa

Kes kehilangan Raymond Koh dan Amri Che Mat gagal diselesaikan sehingga kini.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengulangi gesaannya supaya Putrajaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Melindungi Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Merujuk kepada kes kehilangan pastor Raymond Koh, Amri Che Mat, Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu yang belum diselesaikan sehingga kini, badan itu berkata, tidak terdapat undang-undang atau remedi perundangan yang boleh menangani isu kehilangan paksa, terutama sekali jika pihak berkuasa terlibat.

Meratifikasi ICPPED merupakan langkah pertama bagi menyediakan kerangka undang-undang yang kuat bagi menangani masalah itu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini bersempena sambutan Hari Mangsa Kehilangan Paksa Sedunia.

“Berdasarkan laporan Suhakam pada 2019 berhubung inkuiri awam ke atas kehilangan Koh dan Amri, dirumuskan bahawa kehilangan paksa telah berlaku.

“Suhakam mengesahkan bahawa pada 2019 kerajaan menubuhkan pasukan petugas bagi meneliti dapatan badan ini daripada inkuiri awam yang dijalankan. Laporan pasukan petugas itu harus didedahkan kepada umum,” katanya.

Koh didapati hilang sejak 13 Februari 2017 selepas diculik oleh sekumpulan lelaki pada siang hari, sementara Amri, pengasas NGO Hope di Perlis, hilang pada 24 November 2016.

Pada April tahun lepas, panel Suhakam yang menjalankan inkuiri awam merumuskan bahawa Amri dan Koh merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh polis Cawangan Khas.