1 kematian Covid-19, 6 kes baharu hari ini

PETALING JAYA: Sebanyak 6 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan 1 kematian dicatatkan hari ini.

Pertambahan 1 kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 127.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 6 pesakit dilaporkan pulih manakala 6 pesakit lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 4 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, daripada 6 kes baharu dilaporkan, 4 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan Singapura, iaitu 2 warga Malaysia dan 2 bukan warganegara.

“Empat kes import ini dilaporkan di Selangor. Manakala, 2 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan warga Malaysia, dari Kedah iaitu 1 kes kluster Tawar dan 1 kes kluster Telaga,” katanya.

Noor Hisham berkata, pertambahan 1 kes baharu membabitkan kluster Tawar menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kes ini sebanyak 74 kes.

“Sehingga 31 Ogos jam 12 tengah hari, seramai 16,462 orang disaring dalam kluster ini,” katanya.

Manakala, bagi kluster Telaga pula, ia mula dilaporkan pada 30 Ogos dengan 2 kes positif melibatkan kakitangan hospital yang merupakan kes ke-9,284 (kes indeks) dan kes ke-9,334.

“Namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat 2 lagi kes positif Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini (kes ke-9,306 dan kes ke-9,291), didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

“Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini sebanyak 5 kes. Sehingga 31 Ogos jam 12 tengah hari, seramai 735 orang disaring dalam kluster ini,” katanya.

Mengulas mengenai kematian ke-127, iaitu kes ke-9,124, Noor Hisham berkata mangsa merupakan lelaki warga Malaysia beruis 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi.

“Beliau merupakan salah 1 kes positif dilaporkan pada 13 Ogos lalu dalam kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, pada 13 Ogos selepas didapati positif Covid-19.

“Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos jam 10.35 malam,” katanya.