253 ditahan langgar PKPP, 116 di kelab malam

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata polis turut membuat 64,929 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

PETALING JAYA: Seramai 253 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dengan aktiviti dalam pub atau kelab malam mencatatkan kesalahan terbanyak, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah ditahan polis pada hari ke-83 PKPP itu, 219 individu dikompaun, manakala 32 pula direman dengan 2 individu sudah dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (116), gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk (23), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi lebih masa (2), ceroboh pusat kuarantin (2).

“Bukan itu sahaja, aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (70), gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (1), serta terlibat dalam aktiviti perjudian (13),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, polis turut membuat 64,929 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

“Sebanyak 5,170 pasukan pematuhan melibatkan 17,765 anggota sudah membuat pemantauan di 3,579 pasar raya, 4,805 restoran serta 1,182 penjaja, 1,052 kilang, 3,631 bank dan 649 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau 1,082 terminal pengangkutan darat, 211 terminal pengangkutan air serta 75 terminal pengangkutan udara,” katanya.