Bersikap saksama, bebas, Mahkamah Persekutuan peringat saksi pakar

Hakim Vernon Ong Lam Kiat berkata, saksi pakar bertanggungjawab membantu mahkamah.

PETALING JAYA: Panel 9 orang hakim Mahkamah Persekutuan mengingatkan saksi pakar, seperti pakar patologi forensik, supaya bersikap saksama, objektif dan bebas tanpa mengira pihak yang memanggil mereka untuk memberi keterangan.

Hakim Vernon Ong Lam Kiat berkata, saksi pakar adalah individu yang mempunyai pengetahuan atau kemahiran khusus dalam bidang tertentu yang melayakkannya untuk memberi pandangan mengenai fakta kes semasa prosiding undang-undang.

Beliau berkata, hakikat bahawa saksi pakar dipanggil oleh satu-satu pihak tidak melepaskan mereka daripada tanggungjawab asasi kepada mahkamah.

“Saksi pakar bertanggungjawab membantu mahkamah berhubung perkara berkaitan bidang kepakarannya. Tanggungjawab ini mengatasi obligasinya kepada pihak yang memberikannya arahan atau membayarnya,” kata beliau.

Ong berkata, panel hakim itu mengambil peluang untuk menekankan secara sepintas lalu bahawa kesimpulan pendakwaan dalam kes bunuh tidak hanya bergantung pada testimoni pakar patologi forensik.

“Pakar patologi forensik tidak memikul beban kes. Testimoninya merupakan pembentangan yang faktual serta objektif berhubung dapatan autopsi serta pandangannya mengenai korelasi dapatan autopsi dengan maklumat kes yang lain,” katanya.

Ong membuat kenyataan itu dalam penghakiman berasingan yang ditulisnya bagi mengurangkan pertuduhan membunuh yang dihadapi oleh pemilik syarikat keselamatan P Pubalan kepada homisid salah tidak terjumlah membunuh ke atas adik iparnya D Murali pada 2013.

Panel hakim sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas beliau.

Peguam Hisyam The Poh Teik yang mewakili Pubalan berhujah bahawa keterangan yang diberikan oleh pakar patologi tidak mencukupi untuk mensabitkan anak guamnya atas kesalahan membunuh.

Ong berkata, dalam kes berkenaan, soalan penting yang mesti dijawab ialah sama ada Pubalan berniat untuk mendatangkan kecederaan yang diketahuinya boleh menyebabkan kematian atau mencukupi dalam kaedaan biasa mengakibatkan kematian.

“Malangnya dalam kes ini, soalan kritikal ini tidak dijawab. Kami berpandangan, pakar patologi forensik seharusnya ditanya pandangannya berkait kecederaan yang dialami dan tentang kesan kemungkinan biasanya. Sebaliknya beliau tidak ditanya berhubung perkara kritikal ini,” kata Ong.

Secara keseluruhan katanya, keterangan yang dikemukakan tidak jelas, kabur dan tidak disertakan dengan keterangan lanjut kerana timbalan pendakwa raya tidak bertanyakan soalan semasa pemeriksaan balas pakar patologi forensik.

Justeru beliau berkata, keterangan dalam hal ini tidak mencukupi dan Pubalan sepatutnya disabitkan kerana homisid salah kerana menyebabkan kecederaan badan yang boleh menyebabkankan kematian, bukannya membunuh.

Pubalan, warga Peru Jorge Crespo Gomes dan warga Afrika Selatan Letitia Bosman serta Benjamin William Hawkes juga mencabar keabsahan hukuman mati mandatori dari sudut perlembagaan, tetapi diketepikan dengan penghakiman majority 8-1.

Peguam mereka berhujah bahawa hakim patut diberikan kuasa sama ada mahu menjatuhkan hukuman mati atau penjara berdasarkan fakta dan hal keadaan setiap kes.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf mengetuai panel hakim terdiri daripada Ketua Hakim Malaya, Azahar Mojhamed; Kerua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Ong, Abdul Rahman Sebli, Zleha Yusof. Zabariah Md Yusof, Nalini Pathmanathan dan Hasanah Mohammwed Hashim.

Azahar yang menyampaikan penghakiman majoriti bertarikh 13 Ogos tentang keabsahan hukuman mati itu berkata, oleh sebab badan perundangan membuat undang-undang bagi kesalahan itu, maka ia sepatutnya menentukan ukuran hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah.

Nallini, yang berbeza pandangan berkata, hukuman mati mandatori yang kenakan ke atas kesalahan mengedar dadah dan membunuh adalah bertentangan dengan perlembagaan kerana hak hidup dan perlindungan saksama di bawah undang-undang telah dilanggar

Majoriti hakim bagaimanapun mengekalkan hukuman mati ke atas Bosman dan Hawkes kerana mengedar dadah atas alasan bahawa hakim perbicaraan tidak salah dari segi undang-undang dan fakta kes.

Crespo bagaimanapun terlepas hukuman mati tetapi dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana memiliki 779gram kokain di KLIA pada 2013.