Covid-19: Singapura sah 41 kes baharu, 7 import

Sehingga kini 27 orang meninggal dunia kerana komplikasi akibat Covid-19 di republik itu. (Gambar AP)

SINGAPURA: Singapura mengesahkan 41 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di republik itu sebanyak 56,812.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, terdapat 3 kes dalam komuniti, semuanya adalah pemegang pas kerja,” menurut Kementerian Kesihatan Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan hari ini.

Kementerian itu memaklumkan terdapat 7 kes import yang semuanya diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 896 daripada kes dilaporkan adalah kes import, 2,237 sebagai kes komuniti dan 53,638 melibatkan penghuni asrama.

Sebanyak 55,586 pesakit sembuh sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Sementara itu, 74 kes disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 1,084 pesakit yang mempunyai gejala ringan, atau didapati sihat secara klinikal tetapi diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia kerana komplikasi akibat Covid-19 di republik itu.

Kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu di kedai kamera SLR Revolution, pusat beli-belah Excelsior, 5 Coleman Street.