Guan Eng sokong kenaikan bantuan JKM, tetapi gesa kerajaan lanjut tempoh moratorium

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan sepatutnya tidak berdepan untuk membelanjakan tambahan RM6.4 bilion untuk melanjutkan moratorium pinjaman 6 bulan lagi.

PETALING JAYA: DAP menyokong cadangan kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, tetapi menggesa kerajaan melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pandemik Covid-19 mewujudkan keperluan meminjam lebih banyak wang bagi mengeluarkan Malaysia secepat mungkin daripada kemelesetan ekonomi.

“Malaysia mencatatkan prestasi ekonomi tercorot di rantau Asean dengan pengucupan KDNK sebanyak 17.1% untuk suku tahun ke-2 tahun ini.

“Dengan kadar pengangguran yang tinggi pada 4.9% bersamaan dengan 773,200 orang menganggur pada Jun, jumlah penerima bantuan kebajikan masyarakat dijangka meningkat kepada 1 juta orang berbanding 500,000 sebelum ini pada 2018 apabila kadar pengangguran berada di tahap rendah 3.4%.

“Peningkatan jumlah penerima ini dan juga peningkatan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM1,000 sebulan akan menambah kos keseluruhan kepada RM12 bilion setahun,” katanya.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata, DAP menyokong kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1000 sebagai sebahagian peralihan strategik dalam fokus kewangan kerajaan untuk menyuntik dana bagi menyelamatkan kehidupan, pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia.

Semalam Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengusulkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ketika ini berjumlah RM200 dan RM300 dinaikkkan kepada RM1,000 untuk keluarga yang layak.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

Dalam pada itu Lim berkata, jika Muhyiddin sanggup mempertimbangkan peningkatan perbelanjaan kebajikan masyarakat daripada RM1.7 bilion pada 2018 kepada RM12 bilion bagi membantu 1 juta rakyat Malaysia, maka tiada masalah untuk membelanjakan tambahan RM6.4 bilion untuk melanjutkan moratorium.

Beliau berkata, lanjutan moratorium, sama ada dibiayai oleh bank atau oleh kerajaan sendiri, akan dapat membantu 8 juta rakyat dan syarikat Malaysia, yang lebih besar jumlahnya.

“Demi membantu 32 juta rakyat Malaysia, satu suntikan dana tambahan RM45 bilion diperlukan untuk satu lagi pusingan pakej ransangan yang akan menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia.

“Tindakan melanjutkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember akan memberikan kesan buruk terhadap ekonomi negara dan sepatutnya perlu disekalikan dengan suntikan dana tambahan RM45 bilion,” katanya.

Pada 29 Julai Putrajaya bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan, seperti individu yang kehilangan pekerjaan dan belum mendapat pekerjaan baru.

Kerajaan berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sebahagian rakyat yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium 6 bulan berakhir pada September.