Jaringan lebuh raya ke-2 suntik ekonomi baru di Sri Aman, kata Abang Johari

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, jajaran lebuh raya baru sepanjang 225km dari Kuching ke Sibu bernilai RM6 bilion diharap akan membuka kawasan Sri Aman kepada aktiviti pertanian dan pelancongan secara lebih intensif. (Gambar Bernama)

SIMANGGANG: Jaringan Lebuh Raya Kedua Sarawak melalui daerah Sebuyau, Lingga dan Roban di bahagian Sri Aman akan memberi suntikan yang dapat menghidupkan suasana ekonomi baru di bahagian itu, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Beliau berkata, usaha memajukan bahagian Sri Aman bakal digembleng melalui perancangan induk dinamakan “Sri Aman Development Area” (SADA) yang akan melihat secara keseluruhan bagaimana kawasan itu boleh diangkat dari segi pembangunan ekonominya.

“Saya amat berharap jajaran lebuh raya baru ini nanti akan membuka kawasan Sri Aman kepada aktiviti pertanian dan pelancongan secara lebih intensif lagi untuk manfaat masyarakat di sini,” katanya semasa berucap di majlis Ambang Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini malam tadi

Jajaran sepanjang 225km dari Kuching ke Sibu itu bernilai RM6 bilion dan kini dalam proses reka bentuk serta dijangka ditender pada tahun ini.

Beliau berkata. Sri Aman berpotensi dalam aktiviti pertanian seperti tanaman padi dan nanas khususnya untuk tujuan eksport.

Katanya, Sarawak mempunyai potensi besar dari segi pengeluaran makanan, namun ini harus dimanfaatkan secara sistematik menggunakan teknologi serta kaedah pemasaran baru.

Abang Johari berkata. sektor pertanian Sarawak secara keseluruhannya mendapat peruntukan sebanyak RM700 juta tahun ini untuk memperkasa bidang itu.

“Sri Aman ada potensi (pelancongan) yang baik dengan adanya tempat seperti Empangan Batang Ai, pelancongan budaya dan alam semula jadi di Skrang dan Batang Lemanak, kehidupan Orang Utan di Taman Negara Batang Ai, Benak (ombak), Batang Lupar, kehidupan liar di kawasan paya tanah gambut seperti Taman Negara Maludam dan lain-lain.

“Kerajaan negeri di bawah pentadbiran GPS (Gabungan Parti Sarawak) mempunyai iltizam untuk memastikan Sri Aman mampu bergerak seiring dengan kawasan lain yang sudah berada di hadapan,” katanya.