Kerajaan bantu hampir 2,000 rakyat terkandas di Thailand pulang

Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel berkata hubungan rapat antara pemimpin kedua-dua negara memudahkan usaha kedutaan membantu rakyat pulang ke tanah air, dan sehingga kini 1,965 warga Malaysia diberikan kebenaran khas untuk melintasi sempadan dan selamat pulang ke Malaysia. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Kerajaan Malaysia membantu hampir 2,000 rakyat yang terkandas di Thailand pulang ke tanah air menerusi jalan darat, udara dan laut sejak pintu masuk negara di sempadan Malaysia-Thailand ditutup pada 3 April lalu.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel berkata, hubungan rapat antara pemimpin kedua-dua negara memudahkan usaha kedutaan membantu rakyat pulang ke tanah air, dan sehingga kini 1,965 warga Malaysia diberikan kebenaran khas untuk melintasi sempadan dan selamat pulang ke Malaysia.

“Dianggarkan kira-kira 50 hingga 80 lagi rakyat mahu pulang ke Malaysia melalui jalan darat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kemerdekaan di kedutaan hari ini.

Beliau berkata, bagi rakyat yang mahu pulang ke tanah air, permohonan akan dikemukakan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, kemudian ke Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri Thailand serta pejabat gabenor di 5 wilayah di mana pintu sempadan akan dibuka, dan menurutnya proses membawa mereka pulang ke tanah air akan mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 hari.

“Selepas mendapat kebenaran, rakyat Malaysia hanya dibenarkan merentas sempadan untuk pulang ke tanah air,” katanya.

Jojie berkata, kini terdapat penerbangan khas setiap Rabu bagi membolehkan rakyat pulang ke tanah air.

Sejak 3 April lalu, Thailand menyekat penerbangan komersial antarabangsa sebagai salah 1 usaha bagi membendung penularan Covid-19, dan mulai 1 Julai, 11 kumpulan penumpang termasuk pemastautin tetap, pasangan dan anak kepada pemegang pas kerja, warga asing yang berkahwin dengan rakyat Thai dan warga asing yang ingin mendapatkan rawatan di negara itu, dibenarkan masuk.