Kluster baharu Covid-19, libat pekerja kapal di Port Dickson

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Bunga merupakan kluster terpencil dikenalpasti membabitkan kakitangan bertugas dalam sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat pertambahan 1 lagi kluster baharu membabitkan Covid-19, iaitu kluster Bunga.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu merupakan kluster terpencil yang dikenalpasti membabitkan kakitangan bertugas dalam sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Kapal yang terlibat ini mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura. Seramai 34 orang kru kapal yang bertugas dalam kapal ini disaring pada 28 Ogos bagi tujuan ‘sign-in’ dan ‘sign-off’ kapal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 4 individu dikesan positif Covid-19 manakala, 6 lagi individu didapati negatif. Bagaimanpun 24 individu lagi masih menunggu keputusan.

“Kes positif Covid-19 kluster ini melibatkan 2 warga Malaysia dan 2 bukan warganegara. Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

“Selepas dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor,” katanya.

Katanya, kes positif yang berlaku membabitkan kluster Bunga tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan proses nyah cemar sudah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.