Kuat kuasa segera undang-undang baru perumahan pekerja, kata MTUC

MTUC berkata, tiada langkah signifikan yang diambil oleh majikan bagi mengatasi masalah petempatan pekerja yang sesak dan daif.

PETALING JAYA: Persatuan pekerja terbesar negara menggesa pihak berkuasa supaya “menguatkuasakan segera” pindaan undang-undang berkaitan perumahan pekerja.

Dalam satu kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, tempoh pelepasan 3 bulan yang diberikan oleh kerajaan bagi membolehkan majikan mematuhi pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 berakhir hari ini.

“Kerajaan tidak harus tunduk kepada apa-apa alasan daripada majikan yang tidak mematuhinya kerana mereka diberikan masa yang mencukupi untuk berbuat demikian,” kata Setiausaha n Agung MTUC J Solomon, yang menambah bahawa kekangan kewangan bukanlah alasan yang boleh diterima.

Beliau berkata, pindaan undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara Julai lepas.

J Solomon

Solomon berkata, MTUC tidak melihat langkah signifikan daripada majikan bagi mengatasi masalah petempatan daif pekerja, terutama pekerja migran yang terpaksa tinggal dalam keadaan sesak dan daif.

“Ini bermakna majikan terus memandang ringan isu petempatan pekerja, walaupun mereka terus berdepan risiko penularan kluster baru wabak Covid-19.

“Malah terdapat rumah kongsi atau petempatan pekerja di tapak pembinaan di Kuala Lumpur yang menjadi punca kluster baru Covid-19 dan menjangkiti ramai pekerja.”

Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyebut bahawa keadaan hidup sedemikian merupakan salah satu sebab penyebaran virus tersebut.

“Walaupun diberikan peringatan itu, kami dapati majikan menempatkan 15 ke 20 pekerja di rumah teres 3 bilik dengan keluasan kurang 1,000 kaki persegi dan1 atau 2 bilik air.”

Katanya, pekerja migran tinggal di petempatan sedemikian hatta sebelum menularnya wabak Covid-19.

Ini katanya, bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO).

“Malah standard perumahan yang buruk itu merupakan salah satu daripada 11 indikator buruh paksa seperti yang ditakrifkan oleh ILO.

“Kerajaan mesti memastikan undang-undang itu dilaksanakan di semua sektor ekonomi selaras dengan Syor 115 ILO (Syor Perumahan Pekerja, 1961).