Malaysia Airlines kongsi semangat merdeka dengan penumpang

Malaysia Airlines meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada penumpang 2 penerbangan domestik hari ini.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines tidak ketinggalan meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dengan mengedarkan Jalur Gemilang kepada penumpang 2 penerbangan domestik hari ini.

Dalam kenyataan hari ini syarikat itu berkata, acara patriotik berkenaan diketuai oleh Pengarah Operasi Penerbangan Kapten Hamdan Che Ismail.

Beliau menyertai anak kapal meraikan penumpang penerbangan MH2614 ke Kota Kinabalu dan MH2536 ke Kuching di pintu berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menyerahkan bendera Malaysia serta kit penjagaan diri percuma selain mematuhi peraturan penjarakan fizikal yang ditetapkan.

“Selain itu, kek khas Jalur Gemilang berperisa pandan pula disediakan oleh MAS Awana – penyedia khidmat makanan ruang rehat untuk penumpang domestik Golden Lounge KLIA.

“Penumpang itu bersama-sama memotong kek berkenaan atas rasa patriotik dan kebersamaan ketika Malaysia Airlines terus meraikan kepelbagaian gender, bangsa dan agama,” demikian menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.