Netizen meriahkan ‘perarakan’ sambutan Hari Kebangsaan 2020, kata menteri

Menteri Komunikasi dan Multimdia Saifuddin Abdullah berkata, beliau berharap kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di media sosial akan diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia September ini.

PUTRAJAYA: Walaupun sambutan Hari Kebangsaan 2020 dibuat serba ringkas tanpa perarakan besar-besaran, “perarakan” rakyat Malaysia menerusi media sosial memeriahkan sambutan dalam normal baru, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Saifuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berkata, melalui pelbagai hantaran bersempena Hari Kebangsaan yang sarat dengan mesej positif menerusi media sosial, menunjukkan rakyat memahami bahawa sambutan itu boleh diraikan tanpa perhimpunan besar.

“Ada sekolah di luar bandar yang buat klip video, atlet negara berkongsi detik indah mereka memenangi pingat emas di kejohanan antarabangsa, ada iklan daripada syarikat korporat, kemudian ada seorang gadis kecil bermain dram lagu Jalur Gemilang.

“Ada banyak sekali tular dan saya harap ini diteruskan hingga 16 September (Hari Malaysia),” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah keunikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, khusus untuk ulang tahun ke-50 Rukun Negara.

“Setelah 50 tahun Rukun Negara, ini adalah kali pertama kita ada Titah Diraja. Ia juga sangat padat dan mempunyai banyak perkara yang harus dijadikan panduan oleh kita sebagai rakyat.

“Nasihat supaya kita mengekalkan perpaduan dan keharmonian adalah perkara yang harus kita jadikan panduan,” katanya.

Ini merupakan kali kedua ketua negara menyampaikan Titah Diraja pada sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Titah Diraja pertama disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1970 serentak dengan perisytiharan Rukun Negara.

Dalam ucapan hari ini, Sultan Abdullah berkata, 5 prinsip Rukun Negara adalah formula rakyat berbilang bangsa hidup secara rukun dan damai, dan ia seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak, termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat.

Saifuddin berkata, walaupun sambutan kali ini “luar biasa kecilnya” berbanding sebelum ini, namun dilihat ada kerjasama yang baik daripada semua pihak, termasuk stesen televisyen dan radio, tentera, polis dan Perbadanan Putrajaya.