Pakwan lelaki tertua keliling Semenanjung 6 kali

Pengayuh basikal solo warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 74, selamat tiba di rumahnya selepas menamatkan misi Kayuhan Solo Merdeka 2020 mengelilingi Semenanjung sejauh 2,318km selama 23 hari. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Pengayuh basikal solo warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 74, selamat tiba di rumahnya selepas menamatkan misi Kayuhan Solo Merdeka 2020 mengelilingi Semenanjung sejauh 2,318km selama 23 hari.

Memulakan kayuhan pada 8 Ogos lalu, dia tiba di rumahnya di Telipot hari ini dengan disambut ahli keluarga serta wakil RedOne, Daniel Leoh dan wakil Malaysia Book of Records (MBOR), Wan Taqwa Wan Nazi.

Dengan kejayaan itu, Hashim yang dikenali sebagai “Pakwan” dinobatkan dalam MBOR sebagai lelaki tertua di negara ini yang mengelilingi Semenanjung Malaysia sebanyak 6 kali.

“Ini juga adalah 1 cabaran kepada orang muda kerana di usia sebegini, saya berjaya melakukan kayuhan solo mengelilingi Semenanjung,” katanya.

Mengulas mengenai kayuhan kali ini, Hashim berkata cabaran paling getir dilaluinya adalah ketika mendaki Lebuh Raya Timur-Barat menerusi Banjaran Titiwangsa dalam masa sehari selama kira-kira 11 jam yang sebelum ini dilakukan dalam masa 2 hari.

“Alhamdulillah…hasilnya dengan semangat yang ada saya berjaya di puncak dengan kayuhan (jarak) sejauh 80km (dari Gerik ke puncak banjaran),” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, sebelum memulakan misi solo itu dia menghadapi sedikit halangan daripada keluarga susulan negara masih dibelenggu pandemik Covid 19 dan juga faktor kesihatan dirinya.

“Sebelum melakukan misi ini, saya sudah pun memikirkan pelbagai faktor termasuk umur dan tahap kesihatan. Saya tahu cabarannya amat besar tetapi saya tetap cekalkan hati dan menguatkan semangat sehinggalah misi tercapai,” katanya yang turut menasihatkan golongan muda supaya mendalami apa erti kemerdekaan dan membina negara dengan kebolehan masing-masing.

Mengimbas kayuhan sebelum ini, Hashim berkata dia pernah berkayuh selama 11 hari ke Kuala Lumpur pada usia 14 tahun untuk menyaksikan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan kata-kata keramat “merdeka” di Stadium Merdeka ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 1960.

Ia sekali gus menjadi pembakar semangat kepadanya untuk misi seterusnya iaitu kembali ke stadium tersebut suatu hari nanti dengan berbasikal sebagai bukti cintanya kepada negara yang tidak berbelah bahagi.

Hashim mencipta rekod MBOR kali pertama pada 2014 sebagai lelaki tertua di negara ini berjaya membuat kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200km.

Dia turut mencatatkan nama dalam MBOR pada 2015 dan 2017, serta 2 tahun lalu bagi jarak paling jauh 5,319km bagi kayuhan basikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah Malaysia.