Rukun Negara asas pembentukan negara, bukan hanya simbolik, kata Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan Titah Diraja sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

KUALA LUMPUR: Rukun Negara yang lahir 50 tahun lepas adalah asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara ini, bukan sekadar dijulang secara simbolik menerusi bacaan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan, kata Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdulllah Sultan Ahmad Shah.

Sebaliknya katanya, roh dan semangat rukun negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai.

“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,” katanya.

Sultan Abdullah berkata demikian dalam Titah Diraja bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Sambutan itu berlangsung di Putrajaya.

Sultan Abdullah berkata, prinsip teras yang terkandung dalam Rukun Negara bersifat sejagat dengan merentasi nilai-nilai murni semua bangsa, agama serta berupaya menjadi panduan hidup sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka.

Oleh itu, prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak, termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia, kata Sultan Abdullah.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan mempertahankan semua perkara dan hak keistimewaan yang disepakati sebelum ini dalam perlembagaan persekutuan.

“Keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya.

Sementara itu dalam menyambut Hari Kebangsaan yang bertemakan “Malaysia Prihatin” tahun ini, Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi negara, selain terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat kerana menzahirkan daya tahan dan semangat prihatin yang tinggi dalam menghadapi cabaran itu.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan ulang tahun ke-50 Rukun Negara kali ini, Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara.

“Jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insya-Allah, negara kita akan terus kekal aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” katanya.

Agong bersama-sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengambil kesempatan mendoakan supaya Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan rakyat serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Beliau mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia.