Rukun Negara harus diamal, bukan hiasan, kata Halimah Sadique

Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata kempen bagi sesi maklum balas Rakyat berhubung Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 sudah dilaksanakan di setiap negeri.

KUALA LUMPUR: Penghayatan Rukun Negara yang akan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan bukanlah sebagai hiasan semata-mata, sebaliknya ia perlu diamalkan, kata Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata, sistem pendidikan Rukun Negara adalah berkait rapat dengan perpaduan dan mencerminkan tanah air yang memiliki komposisi rakyat yang unik serta majmuk.

“Kementerian yakin antara kunci kepada kejayaan perpaduan terletak kepada penghayatan dan pemahaman rakyat kepada prinsip Rukun Negara. Sistem pendidikan Rukun Negara berkait dengan perpaduan dan perpaduan ini mencerminkan kepelbagaian.

“Kita nak menyemarakkan perpaduan ikatan antara kaum. Jadi nilai perpaduan perlu dipupuk agar terus sebati dalam jiwa rakyat Malaysia dan tidak mensia-siakan segala pengorbanan pejuang kemerdekaan,” katanya dalam bahagian pertama Program Rukun Negara A Nation United terbitan Bernama TV malam ini.

Halimah turut memaklumkan kempen bagi sesi maklum balas rakyat berhubung Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 sudah dilaksanakan di setiap negeri.

Pada 25 Ogos lalu, di Dewan Rakyat, Halimah mengatakan kementeriannya dalam proses mengadakan jerayawara bagi mendapatkan input rakyat untuk dimasukkan dalam PTPN 2021-2025.

Beliau berkata, ia bagi menghasilkan 1 dasar yang merangkumi idea untuk memperkukuh perpaduan tanpa mengira batasan termasuk Sabah dan Sarawak.