Sabah sentiasa terbuka kerjasama dengan persekutuan, kata Shafie

Ketua menteri Shafie Apdal (dua dari kiri) bersama Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin dan timbalan ketua menteri, Wilfred Madius Tangau hadir pada majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar JKM)

KOTA KINABALU: Ketua menteri Shafie Apdal berkata beliau tetap dengan pendirian untuk melaksanakan mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) terutama dalam perkara berkaitan pembangunan di Sabah

Katanya, beliau sebelum ini memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang pihaknya akan sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan.

“Saya sudah maklumkan pada beliau (Muhyiddin) bahawa Sabah akan mengamalkan G-to-G antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk kepentingan negara.

“Bukan seperti haluan politik, saya nyatakan politik adalah berbeza dan ketepikan itu. Pendirian politik saya untuk sesetengah perkara dan prinsip berbeza namun kita tetap memberi kerjasama dalam membina negara, itu penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin dan timbalan ketua menteri, Wilfred Madius Tangau.

Baru-baru ini Muhyiddin berkata, adalah lebih baik jika kerajaan Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan pimpinannya serta dapat bekerja sebagai 1 pasukan kerana ia dapat memberi impak lebih besar dalam pelbagai aspek.

Sementara itu, Shafie mengingatkan pemimpin politik supaya tidak memainkan isu yang boleh memecah belahkan perpaduan antara kaum dan agama khususnya di Sabah.

Katanya, setiap pemimpin politik seharusnya menerapkan nilai murni bagi memperkukuhkan perpaduan yang sedia terjalin, bukannya menyentuh sensitiviti kaum atau agama sehingga mencetuskan huru-hara.

“Tidak ada kebaikannya (mencetuskan politik perkauman) untuk masa depan. Kita mesti memberi contoh baik dalam menerapkan nilai murni kepada masyarakat,” katanya.

Shafie turut menggesa pemimpin politik supaya mengambil iktibar dari negara yang masih bergelut dengan isu perkauman dan ekstremisme agama walaupun sudah lama merdeka.

“Kalau kita tidak belajar (mengambil iktibar), hanya melihat kehendak kita, keperluan kita sebagai individu dan landasan politik semata-mata, maka kita bakal menghancurkan perpaduan masyarakat yang ada,” katanya.