Syed Saddiq mahu tamat politik wang

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau tidak menyertai Pejuang kerana mahu memperkasakan golongan muda dan mempromosikan Malaysia yang lebih berbilang kaum.

PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak menyertai Pejuang kerana mahu memperkasakan golongan muda dan mempromosikan Malaysia yang lebih berbilang kaum.

Beliau baru-baru ini mengesahkan akan menubuhkan parti yang menumpukan pada belia, bukannya menyertai parti baru Dr Mahathir Mohamad, Pejuang.

Dalam temubual dengan Malaysiakini, beliau berkata menamatkan politik wang adalah antara tujuan partinya, dan juga untuk memecahkan status quo politik serta memberi lebih suara kepada golongan muda.

“Saya akan sentiasa menghormati Mahathir tetapi saya rasa sudah tiba masanya kita mencipta dan memanfaatkan tenaga Malaysia yang berbilang kaum dan kepelbagaian yang ada.

“Saya sudah memberitahu beliau (Mahathir) dan kepemimpinan Pejuang mengenai keputusan saya untuk tidak menyertai parti itu dan sebabnya. Saya doakan yang terbaik buat mereka semua,” katanya.

Syed Saddiq adalah ketua Pemuda PPBM dan menteri belia dan sukan sehingga pergolakan dalaman PPBM menyebabkannya keluar parti itu bersama Mahathir dan ahli Parlimen lain.

Dalam temubual itu, beliau turut menyentuh waktunya dalam parti itu membuka mata mengenai dana politik.

Beliau berkata, Pemuda PPBM memperoleh dana melalui sumbangan orang ramai dan derma sebelum pilihan raya umum 2018, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya, dana korporat menjadi kebiasaan.

“Bagaimanapun, pasca pilihan raya, bila kita tidak mengubah budaya politik wang, ketika itulah (anda mempunyai) perbincangan (bagaimana) syarikat ini adalah yang perlu kita temui dan inilah cara anda melakukannya,” katanya.

“Ada struktur penama yang dapat didorong, ada struktur kontrak dan ada banyak hal lain … Tanpa perubahan besar, (perkara) ia akan sama,” katanya sambil menambah bagaimana bahagian PPBM akan “meminta” untuk sumbangan daripada parti setiap bulan.

Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata, perjuangannya mungkin perlu dibayar. “Saya mungkin kehilangan kerusi. Saya mungkin kehilangan segalanya,” katanya.